DUNIA

Break the Siege: Freedom Flotilla kembali belayar, desak Israel hentikan kepungan di Gaza

Syaff Syukri 25/09/2025 | 10:42 MYT
Menurut FFC, misi kemanusiaan kali ini bukan semata-mata menghantar bantuan kemanusiaan, sebaliknya membawa mesej politik untuk mendesak supaya kepungan Israel dihentikan segera. - Sumber foto GazaFreedomFlotilla
FREEDOM Flotilla Coalition (FFC) akan kembali belayar dengan penyertaan 10 buah kapal, seiring dengan inisiatif global, 'Thousand Madleen’s to Gaza'.

Menerusi kenyataan dikongsikan di Instagram, FFC berkata, misi kemanusiaan kali ini bukan semata-mata menghantar bantuan kemanusiaan, sebaliknya membawa mesej politik untuk mendesak supaya kepungan Israel dihentikan segera.

Ia sekaligus merupakan usaha berterusan menggesa kerajaan dan institusi antarabangsa supaya tidak lagi bersekongkol dengan jenayah dilakukan rejim tersebut.

“Sejak tahun 2008, usaha antarabangsa dikenali sebagai Freedom Flotilla terus mencabar sekatan haram Israel yang disifatkan sebagai senjata untuk menekan, membisukan serta memenjarakan rakyat Palestin.




“FFC turut menyeru masyarakat antarabangsa supaya tidak mempersoalkan tindakan FFC untuk meneruskan pelayaran.

“Sebaliknya mendesak ahli politik negara masing-masing menghentikan sokongan terhadap Israel yang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata kenyataan itu.

Misi kali ini akan turut disertai beberapa doktor perubatan dan aktivis dari Malaysia serta seorang wartawan dari Astro AWANI.

Terdahulu pada awal Mei, sebuah kapal misi kemanusiaan, MV Conscience milik FFC, dilaporkan diserang oleh dron pada jam 12.23 tengah malam waktu tempatan Malta ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran negara itu.

Seterusnya pada Jun, tentera Israel merampas kapal Madleen dan menahan 12 aktivis antarabangsa termasuk aktivis alam sekitar Sweden Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah dari Perancis, Rima Hassan.

Manakala pada penghujung Julai lalu, kerajaan Israel mengesahkan kapal bantuan Handala yang dalam perjalanan ke Gaza telah dipintas oleh tentera lautnya.

Bukan setakat melakukan pintasan dan merampas kapal, tentera Zionis juga bertindak menyerang seorang aktivis kemanusiaan dari kapal bantuan Handala sejurus tiba di sebuah penjara Israel.

Kapal Handala yang dalam pelayaran ke Gaza membawa susu formula bayi, makanan dan ubat-ubatan sebelum itu telah dirampas tentera Israel berhampiran pantai Gaza dengan 21 orang awam tidak bersenjata berada di atas kapal, termasuk ahli parlimen, petugas perubatan dan sukarelawan.


#Break the Siege Freedom Flotilla #Thousand Madleen s to Gaza #Gaza #Rima Hassan