DUNIA

Break the Siege: Misi Flotilla ke Gaza pecahkan kepungan Israel, bukan sekadar bawa bantuan

Syaff Syukri 29/09/2025 | 05:20 MYT
Huwaida Araff berkata, misi flotilla menggunakan pendekatan langsung tanpa kekerasan walaupun berisiko diserang atau ditahan, sebagai usaha menolak penindasan dan mempertahankan hak asasi manusia sejagat. - Gambar/ IG Huwaida Arraf
ITALI: Freedom Flotilla Coalition (FFC) menegaskan pelayaran ke Gaza bukanlah semata-mata menghantar bantuan kemanusiaan, sebaliknya menzahirkan solidariti global serta membantah sekatan Israel yang tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Freedom Flotilla Coalition menegaskan pelayaran ke Gaza bukan sekadar misi bantuan, tetapi tindakan solidariti global untuk mencabar sekatan Israel yang dianggap haram di sisi undang-undang antarabangsa.
  • Huwaida Araff menyatakan bahawa isu Palestin adalah persoalan politik dan hak asasi, bukan semata-mata bantuan, serta mengkritik negara-negara yang berkompromi dengan Israel dalam penyaluran bantuan.
  • Misi flotilla menggunakan pendekatan langsung tanpa kekerasan walaupun berisiko diserang atau ditahan, sebagai usaha menolak penindasan dan mempertahankan hak asasi manusia sejagat.


Menurut Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Peguam Hak Asasi Manusia, Huwaida Araff, sejak lebih 17 tahun lalu, rakyat Palestin terpaksa hidup bergantung pada bantuan luar akibat kepungan ketat Israel.

Namun hakikatnya isu itu bukan soal bantuan semata-mata, sebaliknya persoalan politik dan hak asasi.

“Kami bukan organisasi bantuan, dan kami bukan penyelamat. Apa yang berlaku di Palestin adalah isu politik.

“Kami mahu mengubah realiti politik yang menjadikan rakyat Palestin sentiasa bergantung kepada bantuan luar.

“Mereka berhak menentukan apa yang masuk dan keluar dari Gaza tanpa kawalan rejim Israel,” katanya.

Menurutnya, undang-undang antarabangsa jelas menunjukkan kepungan Israel adalah tidak sah, tetapi negara-negara di dunia masih membiarkan ia berterusan tanpa sebarang cabaran.

“Sekatan ini jelas haram. Namun dunia hanya membiarkan Israel melakukannya tanpa dicabar.

“Kami datang untuk memecahkan kepungan, dan kami menyeru kerajaan dunia supaya turut sama mencabar Israel,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Huwaida turut mengkritik sikap kerajaan-kerajaan dunia yang dilihat berkompromi dengan Israel.

Ini kerana ujarnya, banyak negara yang mendakwa menghantar bantuan kemanusiaan, sebenarnya sedang berkoordinasi dengan rejim Zionis apabila hanya membiarkan trak-trak bantuan beratur panjang di sempadan Rafah tanpa menyalurkannya melalui jalan laut.

“Jika benar mahu menyalurkan bantuan, mengapa tidak dihantar melalui laut?

“Kenapa hanya menunggu di sempadan sehingga berhari-hari? Itu bukti mereka tunduk kepada Israel,” katanya lagi.

Pada masa sama, Huwaida menegaskan, misi flotilla menggunakan tindakan langsung tanpa kekerasan untuk mencabar kepungan Israel, walaupun sedar risiko dicederakan, ditangkap, atau diserang.

“Ini bukan sahaja perjuangan Palestin, tetapi untuk seluruh dunia. Jika dunia membiarkan Israel dan sekutunya berjaya, tiada sesiapa yang akan selamat.

“Kami sedar Israel mungkin akan menahan, mencederakan atau menyerang kami seperti yang berlaku sebelum ini.

“Tetapi itu tidak akan menghentikan gerakan global ini kerana kami menolak keras apabila ada pihak yang menjadikan dunia ini tanpa undang-undang, tanpa hak asasi manusia, dan tanpa perlindungan untuk rakyat biasa,” tambahnya.






#Freedom Flotilla Coalition #Genosid Gaza #isu Palestin #kekejaman israel