DUNIA

Brigitte Macron, isteri Presiden Perancis alami tekanan emosi akibat fitnah jantina

Agensi 28/10/2025 | 23:40 MYT
Brigitte Macron. REUTERS
PARIS: Isteri Presiden Perancis, Brigitte Macron, kini mengalami tekanan emosi yang mendalam susulan dakwaan palsu mengenai identiti jantinanya yang tular di media sosial.

Perkara itu didedahkan anak bongsu beliau, Tiphaine Auziere dalam perbicaraan di Mahkamah Paris pada Selasa, yang menyaksikan 10 individu didakwa atas tuduhan gangguan siber terhadap wanita berusia 72 tahun itu.

Menurut Auziere, ibunya kini hidup dalam kebimbangan berterusan dan sentiasa berhati-hati dengan penampilan serta gerak-gerinya kerana bimbang gambarnya akan dimanipulasi dan dijadikan bahan fitnah dalam talian.

“Tiada satu minggu pun berlalu tanpa gangguan. Semua orang dalam hidupnya, sama ada secara peribadi atau profesional, pasti menyentuh isu ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kesihatan mental ibunya semakin merosot dan perkara itu disahkan melalui penilaian perubatan.

Kes ini berpunca daripada aduan rasmi yang difailkan oleh peguam Brigitte Macron pada Ogos 2024, yang membawa kepada dua siri penahanan pada Februari dan Mac tahun ini.

Pendakwa memaklumkan bahawa siasatan awal mengenal pasti dakwaan palsu mengenai jantina dan seksualiti Brigitte Macron, termasuk tuduhan tidak berasas berkaitan perbezaan usia antara beliau dan Presiden Emmanuel Macron.

Antara 10 tertuduh yang berusia antara 41 hingga 60 tahun termasuk ahli politik, guru, pemilik galeri seni, pakar IT dan pengurus hartanah. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.

Saman fitnah terhadap pengulas konservatif AS

Dalam perkembangan berkaitan, pasangan Presiden Perancis turut memfailkan saman fitnah terhadap pengulas konservatif Amerika Syarikat, Candace Owens, di Delaware atas dakwaan menyebarkan teori konspirasi bahawa Brigitte Macron adalah seorang lelaki.

Owens didakwa menjalankan kempen berterusan selama setahun melalui pelbagai video dan ciapan di platform X dan YouTube, termasuk siri bertajuk Becoming Brigitte yang ditonton jutaan pengikut.

Perbicaraan dijangka berlangsung selama dua hari dengan keputusan dijangka diumumkan dalam masa terdekat. - Agensi



#Brigitte Macron #Emmanuel Macron #isteri presiden perancis #tekanan emosi #fitnah jantina