[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
INTERNATIONAL

Budak enam tahun jatuh ketika makan, batang gula-gula tembus otak

Sinar Harian 27/03/2025 | 02:15 MYT
Imbasan CT kecemasan yang menunjukkan batang buluh berkenaan memasuki sehingga ke pangkal otak. - Foto Guangzhou Daily
SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di China mengalami kemalangan ngeri apabila dia terjatuh ketika makan gula-gula bertangkai, menyebabkan batang tersebut menembusi mulut sehingga ke pangkal tengkorak dan otaknya.
Memetik media tempatan Guangzhou Daily, kejadian malang tersebut menimpa Xiao Zhu, pada Rabu yang ketika itu sedang memegang gula-gula maltosa berbatangkan buluh.
Media melaporkan, ketika Xiao Zhu cuba menahan daripada jatuh dengan menggunakan tangan, batang tersebut menembusi mulutnya sehingga ke pangkal tengkorak, menyebabkan dia mengalami kesakitan yang amat dahsyat.
Ibu bapanya yang panik segera membawa Xiao Zhu ke hospital sebelum doktor pantas melakukan imbasan CT kecemasan.
Hasil pemeriksaan menunjukkan batang buluh sepanjang 11 sentimeter (sm) telah mencapai bahagian otak yang mengawal pergerakan dan koordinasi badan.
Doktor di Hospital Pertama Zhongshan mengklasifikasikan keadaannya sebagai kritikal dan menyedari pembedahan yang akan dilakukan terhadap kanak-kanak tersebut sangat berisiko tinggi.
“Batang tersebut telah menusuk titik utama pengumpulan darah di pangkal tengkorak yang menghantar darah dari otak ke jantung.
“Sebarang kesilapan boleh mencetuskan pendarahan besar, menjadikan prosedur itu sebagai situasi hidup atau mati,” katanya.
Dalam pada itu, jelasnya, satu pasukan pakar terdiri daripada pakar bedah saraf, pakar bius, pakar pediatrik dan pakar pergigian segera dibentuk bagi merancang pembedahan dengan teliti.
Selepas tujuh jam pembedahan yang mendebarkan, doktor akhirnya berjaya mengeluarkan batang itu tanpa mencederakan otak atau saluran darah Xiao Zhu.
Lebih mengejutkan, dia terselamat tanpa mengalami sebarang kecacatan pada sistem saraf atau neurologi dan dibenarkan keluar hospital dua minggu kemudian tanpa sebarang komplikasi, jangkitan atau pendarahan berlebihan.
Ketua pakar bedah, Guo Shaolei merujuk kes berkenaan untuk memberi amaran kepada ibu bapa tentang bahaya membiarkan kanak-kanak bergerak sambil makan, terutama apabila memegang objek tajam seperti batang kayu atau penyepit.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar kekal tenang dalam kecemasan dan tidak menarik keluar objek asing yang tertusuk dalam badan kerana tindakan itu boleh memburukkan lagi kecederaan dalaman.
Tambahnya, kanak-kanak yang mengalami kecederaan seperti itu perlu segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan profesional.
Kata Guo, beliau menggalakkan ibu bapa untuk mempelajari asas pertolongan cemas, terutama cara menghentikan pendarahan dan mengurus luka bagi menangani kecemasan dengan lebih berkesan. - Sinar Harian
#gula-gula bertangkai #tembus mulut #otak #Kanak-kanak