MANILA: Filipina mula memberikan vaksin COVID-19 kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun, pada Jumaat.

Langkah ini diharap membolehkan sesi persekolahan di negara itu dibuka dengan selamat.

Kerajaan merancang untuk membuka semula persekolahan secara bersemuka di 120 sekolah pada bulan depan.

Menurut laporan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Unicef, Filipina adalah antara 17 negara di seluruh dunia yang menutup sesi persekolahan sepenuhnya akibat wabak.

Keutamaan pemberian vaksin diberi kepada 1.2 juta kanak-kanak dengan keadaan kesihatan yang ada.

Bagi tujuan itu, dua jenama vaksin diluluskan bagi kanak-kanak bawah umur.

Daripada 2.7 juta kes COVID-19 yang disahkan, 7.8 peratus menjangkiti golongan muda berusia 10 hingga 19 tahun.

Kematian di antara golongan itu agak rendah iaitu 0.6 peratus daripada 40,000 kematian keseluruhan.

Filipina melaporkan 7,625 jangkitan pada Jumaat, antara yang paling rendah dalam dua bulan.

Negara itu juga umum melonggarkan sekatan di wilayah Manila mulai Sabtu.

Setakat ini, negara itu telah memvaksinasi hampir 24 juta daripada 110 juta penduduknya.