ISTANBUL: Pemerhati langit di sebahagian wilayah Amerika, Eropah dan Afrika berpeluang menyaksikan gerhana bulan separa yang ketara pada malam Khamis hingga awal pagi Jumaat, apabila bayang-bayang bumi akan menutupi kira-kira 96 peratus permukaan bulan, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut NASA, gerhana itu akan berlaku pada 27-28 Ogos, bergantung pada zon waktu, dengan kemuncak gerhana dijangka pada sekitar 04:12 GMT, 28 Ogos.
Fenomena tersebut akan dapat dilihat sepenuhnya dari kebanyakan kawasan di benua Amerika, manakala pemerhati di sebahagian Eropah dan Afrika akan dapat melihat sebahagian daripada gerhana tersebut ketika bulan terbit atau terbenam.
Berbeza dengan gerhana bulan penuh, bagi gerhana bulan separa, sebahagian kecil bulan akan kekal di luar kawasan bayang-bayang paling gelap bumi (umbra).
Bahagian yang mengalami gerhana mungkin kelihatan kemerahan atau berwarna seperti tembaga apabila cahaya matahari melalui atmosfera bumi lalu diserak dan dibiaskan, menghasilkan kesan yang kadangkala dikaitkan dengan fenomena "bulan berdarah" (blood moon).
Gerhana itu akan berlangsung selama lebih lima jam dari permulaan fasa penumbra sehingga tamat, walaupun tempoh fasa gerhana separa yang ketara adalah jauh lebih singkat.
Pada tahap maksimum, kira-kira 93 peratus daripada diameter bulan akan berada di dalam kawasan umbra bumi, menurut NASA dan sumber astronomi.
Peristiwa berkenaan berlaku hanya lebih dua minggu selepas gerhana matahari penuh pada 12 Ogos yang dapat dilihat di sebahagian wilayah Greenland, Iceland, dan Sepanyol.
Gerhana matahari dan gerhana bulan lazimnya berlaku secara berpasangan disebabkan oleh penjajaran matahari, bumi dan bulan.
Berbeza dengan gerhana matahari, tiada perlindungan mata khas diperlukan untuk melihat gerhana bulan.
Penggunaan teropong atau teleskop boleh memberikan pandangan yang lebih dekat, manakala keadaan langit yang cerah dan ufuk yang tidak terhalang akan memberikan suasana pemerhatian terbaik.
-- BERNAMA-ANADOLU