ISTANBUL: Bulgaria memohon bantuan teknikal daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi menyiasat serangan dron terhadap dua kapal dagang di zon ekonomi eksklusifnya di Laut Hitam, menurut kerajaan negara itu pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Bulgaria.
Perdana Menteri Rumen Radev menggesa negara sekutu memberikan keutamaan kepada siasatan itu menerusi surat yang dihantar kepada Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte.
Radev berkata Bulgaria mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan terhadap kapal dagang dan kru awam serta bertekad mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Pihak berkuasa Bulgaria turut memohon bantuan Agensi Keselamatan Maritim Eropah selepas gagal menemukan serpihan dron yang boleh membantu mengenal pasti asal usul dron yang digunakan dalam serangan berkenaan.
Bantuan teknikal itu akan membolehkan bukti fizikal, data satelit dan maklumat lain yang dikumpulkan sepanjang siasatan diperiksa serta dianalisis.
Radev berkata Bulgaria akan mengambil segala langkah yang perlu bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab tanpa sebarang keraguan, sambil menekankan peranan EU dalam menyediakan sokongan teknikal menerusi Suruhanjaya Eropah dan agensi berkaitannya.
Beliau berkata Bulgaria turut berhubung dengan NATO bagi mendapatkan bantuan daripada negara sekutu.
Menurut Radev, sebaik sahaja pihak yang bertanggungjawab dikenal pasti, Bulgaria akan mengambil semua langkah diplomatik dan perundangan yang tersedia selaras dengan undang-undang antarabangsa.
Pada mesyuarat Kabinet 6 Okt lepas, Radev memaklumkan bahawa dua kapal dagang diserang kira-kira 3 pagi waktu tempatan (0000 GMT) menggunakan dron laut dan udara.
Beliau berkata kedua-dua kapal mengalami kerosakan akibat serangan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU