NEW JERSEY: Seketul objek berunsur logam yang menghentam sebuah rumah di New Jersey, Amerika Syarikat hingga membuatkan bumbung dan siling kediaman itu berlubang minggu lalu, disahkan sebagai meteorit.

AP melaporkan, objek berkenaan terus terkena lantai kayu rumah itu lalu melantun di dalam ruang bilik tidur. 

Sekumpulan saintis dari The College of New Jersey (TCNJ)  mengesahkan, objek berukuran 6 kali empat inci dan seberat 1 kilogram itu merupakan batu meteorit chondrite yang jarang ditemui. Pengesahan itu dibuat selepas menjalankan pemeriksaan visual, mengukur kepadatan dan mengimbas imej mikroskop elektron.

Pemeriksaan mereka dipimpin seorang pakar meteorit, Jerry Delaney, iaitu pesara dari Rutgers University dan juga American Museum of Natural History.

“Mendapat peluang meneliti meteorit itu adalah satu kesempatan berharga bagi saya, serta sekumpulan penuntut fizik dan profesor di TCNJ.

“Kami teruja untuk mengesahkan bahawa objek itu adalah meteorit chondrite asli, dalam keadaan baik, dan salah satu daripada contoh chondrite yang jarang direkod bidang sains,” ujar pengerusi jabatan fizik fakulti itu, Nathan Magee.

Keluarga yang menemui batu hitam bersaiz kentang besar itu memberitahu, objek berkenaan dijumpai di satu sudut kediaman mereka, dan dalam keadaan masih hangat sekitar 12.30 tengah hari Isnin lalu. Kumpulan pakar percaya ia baru saja jatuh menghentam rumah mereka ketika ia ditemui.

Tiada siapa dilaporkan cedera dalam kejadian berkenaan dan kerosakan terhadap rumah itu juga tidak terlalu serius. Petugas Hazmat telah dikejarkan ke lokasi untuk memeriksa keluarga itu sekiranya mereka terdedah kepada sebarang bentuk bahan radioaktif, namun kesemuanya negatif.