PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 21 individu termasuk 20 pelajar dan seorang guru disahkan maut selepas bumbung sebuah sekolah swasta di bandar ini runtuh pada Khamis, lapor Independent.
Jurucakap Hospital Lady Reading, Mohammad Asim, mengesahkan mangsa yang terdiri daripada pelajar berusia 13 tahun ke bawah serta seorang guru disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan.
Kejadian di kawasan Dir Colony, ibu negeri wilayah Khyber Pakhtunkhwa itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 40 individu lain cedera selepas dihempap runtuhan.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Rescue 1122, Bilal Faizi, berkata sebilangan lagi kanak-kanak dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan sekolah tersebut.
Beliau berkata anggota penyelamat sedang giat mengalihkan runtuhan bagi mengeluarkan mangsa yang masih tertimbus, manakala beberapa mangsa yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Susulan kejadian, Setiausaha Pendidikan Wilayah, Inayatullah Waseem, mengarahkan Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Kawal Selia Sekolah Swasta mengemukakan laporan penuh mengenai insiden berkenaan menjelang esok.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pelajar dan guru yang terkorban.
Punca kejadian runtuhan bumbung sekolah itu masih belum diketahui dan siasatan sedang dijalankan pihak berkuasa tempatan.
Pada Jun lalu, insiden bumbung runtuh di sebuah pusat bimbingan swasta di daerah Kahna, Lahore turut meragut nyawa 14 kanak-kanak.
Kes kegagalan struktur bangunan kerap dilaporkan di Pakistan susulan penguatkuasaan piawaian pembinaan yang lemah, penggunaan bahan binaan berkualiti rendah serta kegagalan mematuhi peraturan keselamatan bagi mengurangkan kos pembinaan.