Skip to main content

Dunia

Bumbung sekolah runtuh di Pakistan, 33 murid dan seorang guru maut

Seorang anggota penyelamat berkata bumbung di tingkat atas runtuh, lalu menembusi tiga bilik darjah. - Gambar Reuters
Seorang anggota penyelamat berkata bumbung di tingkat atas runtuh, lalu menembusi tiga bilik darjah. - Gambar Reuters

Advertisement

PESHAWAR: Sekurang-kurangnya 33 murid dan seorang guru maut selepas bumbung sebuah sekolah runtuh di bandar Peshawar, barat laut Pakistan, menurut pegawai hospital.

Lebih 12 mangsa lain turut cedera, dengan sebahagian daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Pasukan kecemasan dikejarkan ke sekolah swasta Al-Khair di Dir Colony pada pukul 8.48 pagi Khamis, selepas sesi pembelajaran bermula.

Pegawai penyelamat, Bilal Faizi berkata, bumbung sebuah bilik darjah di tingkat atas runtuh sebelum serpihannya menghempap siling kelas di tingkat bawah, menyebabkan sejumlah murid terperangkap di bawah runtuhan.

Image
The roof crashed through three classrooms and buried schoolchildren in debris, police say/ Reuters
a { text-decoration: none; color: #464feb; } tr th, tr td { border: 1px solid #e6e6e6; } tr th { background-color: #f5f5f5; } Bumbung runtuh menghempap tiga bilik darjah dan menimbus murid-murid di bawah runtuhan, menurut polis. - Gambar Reuters

Ketua Polis Peshawar, Mian Saeed berkata, pemilik sekolah berkenaan telah ditahan, manakala siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pelanggaran terhadap kod bangunan.

Seorang guru Bahasa Inggeris dari sekolah berhampiran berkata, dia bersama penduduk tempatan bergegas ke lokasi sebaik mendengar bunyi siren dan ambulans.

Mereka berjaya mengeluarkan lebih 20 kanak-kanak daripada runtuhan.

Menurut guru itu, dia sendiri mengeluarkan enam kanak-kanak dengan tangannya dan kebanyakan mereka ketika itu masih hidup serta mampu bercakap, namun kemudian disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi penduduk tempatan, Sohail berkata, orang ramai turut menggunakan penyodok dalam usaha mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap di bawah runtuhan.

Pegawai kecemasan, Arif Khattak berkata, bangunan sekolah itu dibina sebagai struktur sementara.

Laporan awal menyatakan bilik darjah yang musnah terletak di bahagian bangunan dua tingkat, namun Mian Saeed kemudian mengesahkan bilik darjah di tiga tingkat terjejas akibat runtuhan itu.

Menurutnya, terdapat kira-kira 30 murid di kelas tingkat atas, 40 di tingkat tengah dan 45 lagi di tingkat bawah.

Siasatan awal mendapati apabila bumbung kelas di tingkat paling atas runtuh, serpihan bangunan menembusi bilik darjah di bawah sehingga menyebabkan siling pada tingkat berkenaan turut roboh.

Mian Saeed berkata, keseluruhan struktur bangunan itu menggunakan kepingan bumbung yang tidak memenuhi piawaian selain dipercayai menanggung beban melebihi had kemampuannya.

Kedudukan sekolah di sebatang jalan yang sangat sempit turut menyukarkan pasukan penyelamat memasuki lokasi kejadian serta membawa mangsa yang cedera ke hospital.

Hospital Lady Reading di Peshawar mengesahkan kematian 32 kanak-kanak dan seorang guru, manakala Hospital Memorial Naseerullah Khan Babar melaporkan seorang lagi kanak-kanak meninggal dunia.

Polis turut memberi amaran bahawa bangunan berkenaan masih dalam keadaan sangat berbahaya dan meminta orang ramai menjauhi kawasan itu.

Susulan tragedi tersebut, Gabenor Khyber Pakhtunkhwa, Faisal Karim Kundi mengarahkan audit keselamatan dilakukan terhadap semua sekolah di wilayah berkenaan bagi mengenal pasti sebarang risiko dan memastikan tindakan pembetulan segera dilaksanakan.

“Kita tidak boleh membiarkan keselamatan anak-anak kita dikompromi,” katanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang marah mendakwa pihak sekolah mengabaikan aspek keselamatan.

Mohammad Zaman yang kehilangan dua anak saudara dalam kejadian itu, menggesa tindakan tegas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab supaya tragedi berkenaan menjadi pengajaran kepada pihak lain.

Insiden itu menyusuli beberapa tragedi membabitkan keselamatan bangunan di Pakistan.

Pada Jun lalu, 14 kanak-kanak maut selepas bumbung sebuah pusat tuisyen swasta berhampiran Lahore runtuh.

Pada Ogos pula, 14 bayi baru lahir maut dalam kebakaran yang memusnahkan unit neonatal sebuah hospital di Islamabad. 

Siasatan kemudian mendapati premis berkenaan tidak dilengkapi penggera kebakaran dan sistem pemercik air. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement