AKIBAT perubahan iklim, glasier di seluruh dunia termasuk di lokasi terakhir di Afrika dilaporkan akan cair dan dijangka lenyap menjelang 2050.

Memetik laporan CNN, UNESCO dalam satu laporan memaklumkan glasier di satu pertiga daripada tapak Warisan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan cair dalam tempoh tiga dekad.

Dalam masa sama, glasier terakhir di Gunung Kilimanjaro dilaporkan bakal lenyap, sama seperti glasier di pergunungan Alps dan Taman Negara Yosemite di Amerika Syarikat, walaupun dunia berusaha menyelamatkan bumi dari perubahan iklim meruncing.

Difahamkan, laporan dikeluarkan melalui unjuran berdasarkan data satelit.

Kira-kira 18,600 glasier dikenal pasti di 50 tapak warisan dunia PBB, sekali gus mewakili hampir 10% daripada kawasan glasier bumi termasuk di lokasi pelancongan terkenal dan tempat ibadah penduduk tempatan.

Tambah laporan itu, kehilangan glasier antara bukti paling dramatik bahawa bumi semakin memanas.

“Kami berharap kami mungkin salah tetapi ini adalah sains yang kompleks," menurut pegawai projek UNESCO, Tales Carvalho Resende.

Manakala salah seorang penulis memaklumkan, "Glasier adalah salah satu petunjuk penting perubahan iklim kerana ia boleh dilihat. Ini adalah sesuatu yang benar-benar boleh berlaku dan dilihat."

Glasier yang terdapat di dua pertiga di tapak Warisan Dunia PBB dijangka boleh diselamatkan tetapi hanya jika dunia mengehadkan pemanasan global kepada 1.5C.

Laporan itu mengatakan bahawa kehilangan ais di tapak Warisan Dunia mungkin menyebabkan paras laut dunia meningkat sehingga 4.5% antara tahun 2000 dan 2020. Glasier ini melepaskan kira-kira 58 bilion tan ais setiap tahun sama dengan gabungan jumlah isipadu tahunan air yang digunakan di Perancis dan Sepanyol.

Pakar glasiologi di Universiti Leeds, Profesor Duncan Quincey yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu memberitahu ramai penduduk bergantung kepada glasier sebagai sumber air untuk kegunaan domestik, pertanian dan kehilangannya boleh menyebabkan kekurangan air tawar semasa musim kemarau.

"Ia menyumbang kepada isu keselamatan makanan kerana mereka menggunakan air untuk menyiram tanaman," kata Quincey.

Pengarang laporan, Carvalho Resende memberitahu kesan dari glasier yang mencair penduduk tempatan dan orang asli akan menanggung kesan banjir yang disebabkan isu ini sekaligus menggesa agar amaran awal dan pengurangan risiko dilaksanakan.

"Mesej paling jelas yang perlu kita lakukan ialah menghadkan pemanasan global. Terdapat mesej harapan di sini.

"Jika kita boleh berjaya mengurangkan pelepasan secara drastik, kita akan dapat menyelamatkan kebanyakan glasier ini,” katanya, sambil menambah, tindakan segera di setiap peringkat termasuk politik dan tanggungjawab sebagai manusia, diperlukan.