DUNIA

Bunuh, kerat 9 mangsa, ‘Pembunuh Twitter’ akhirnya ke tali gantung

Astro Awani 29/06/2025 | 06:40 MYT
Takahiro Shiraishi (foto) dihukum gantung selepas disabitkan membunuh sembilan individu yang dikenalinya melalui media sosial. -Gambar media sosial
TOKYO: Takahiro Shiraishi, lelaki yang digelar “Pembunuh Twitter” di Jepun, telah dihukum gantung pada Jumaat selepas disabitkan kesalahan membunuh sembilan individu yang dikenalinya melalui media sosial pada tahun 2017.

Ringkasan AI
  • Takahiro Shiraishi, digelar Pembunuh Twitter, dihukum gantung di Jepun selepas disabitkan membunuh sembilan individu yang dikenalinya melalui media sosial pada 2017.
  • Mangsa merupakan individu yang mengalami tekanan emosi dan ingin membunuh diri; Shiraishi memperdaya mereka ke apartmennya sebelum membunuh dan menyimpan anggota badan mereka.
  • Kes ini mencetuskan kebimbangan tentang keselamatan dalam talian dan kesihatan mental belia, serta mengundang kritikan terhadap penggunaan hukuman mati di Jepun.

Menurut Kementerian Kehakiman Jepun, hukuman mati itu merupakan yang pertama dilaksanakan di negara itu sejak 2022 dan menandakan penamat kepada salah satu kes pembunuhan paling menggemparkan dalam sejarah moden Jepun.
Shiraishi, 34, menggunakan platform media sosial Twitter untuk mendekati mangsa yang mengalami tekanan emosi dan berhasrat untuk membunuh diri.
Dia memperdaya mereka ke apartmennya di bandar Zama, Kanagawa sebelum membunuh, mengerat, dan menyimpan anggota badan mereka dalam bekas plastik serta kotak pendingin.
Semasa perbicaraan pada Disember 2020, tertuduh mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan bunuh.
Mahkamah Wilayah Tokyo menolak hujah pembelaan bahawa mangsa bersetuju untuk “mati bersama”, sebaliknya menyifatkan tindakan tertuduh sebagai “sadis, licik dan tidak berperikemanusiaan”.
Kes itu mencetuskan kebimbangan luas tentang keselamatan dalam talian, serta keperluan untuk memperkukuh sokongan kesihatan mental dalam kalangan belia di Jepun.
Ia turut menarik perhatian antarabangsa, dengan beberapa badan hak asasi manusia mengkritik penggunaan hukuman mati oleh negara itu.

Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.
Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.
Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.
Panggilan adalah percuma.
#Takahiro Shiraishi #Pembunuh Twitter #dihukum gantung #bunuh sembilan individu #tekanan emosi