Bunuh, sumbat mayat dua anak dalam beg pakaian, wanita New Zealand dihukum penjara seumur hidup

Lee dilaporkan membunuh anak lelakinya, Minu Jo dan anak perempuannya, Yuna Jo, masing-masing berusia enam dan lapan tahun, dengan memberi mereka dos berlebihan ubat preskripsi pada 2018. - Gambar AP
AUCKLAND: Seorang ibu yang membunuh dua anaknya sebelum menyumbat mayat mereka ke dalam beg pakaian dan menyimpannya di sebuah stor dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di New Zealand, pada Rabu.
Hakyung Lee, warganegara New Zealand yang berasal dari Korea Selatan, didapati bersalah awal tahun ini atas pembunuhan kejam yang digelar sebagai kes ‘pembunuhan dalam beg pakaian’ di negara itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Geoffrey Venning, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 17 tahun tanpa parol sambil menegaskan, mangsa adalah kanak-kanak yang “sangat lemah.”
Lee, 45, yang diiringi pengawal keselamatan dan jurubahasa, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman dibacakan.
Lee dilaporkan membunuh anak lelakinya, Minu Jo dan anak perempuannya, Yuna Jo, masing-masing berusia enam dan lapan tahun, dengan memberi mereka dos berlebihan ubat preskripsi pada 2018.
Mayat kedua-dua kanak-kanak itu hanya ditemui pada 2022 apabila sebuah keluarga yang membeli stor melalui lelongan membuka beg pakaian berkenaan.
Lee yang telah menukar identiti dan melarikan diri ke Korea Selatan, akhirnya diekstradisi untuk dibicarakan di New Zealand.
Dalam prosiding hukuman, mahkamah mendengar bagaimana tragedi itu meninggalkan kesan emosi mendalam kepada keluarga Lee.
“Jika dia mahu mati, mengapa tidak mati seorang diri? Mengapa dia membawa bersama anak-anak yang tidak berdosa?” kata ibunya, Choon Ja Lee, dalam kenyataan yang dibacakan di mahkamah.
Sementara itu, abang ipar Lee, Sei Wook Cho berkata, nenek sebelah bapa yang menghidap kanser masih tidak mengetahui tentang pembunuhan tersebut.
“Setiap hari saya hidup dalam ketakutan seperti bom masa menunggu untuk meletup,” katanya dalam kenyataan yang turut dibacakan.
“Ini adalah hukuman berterusan yang tidak akan berakhir buat saya,” tambahnya.
Perbicaraan sebelum ini tertumpu kepada persoalan sama ada Lee sedar tindakannya adalah salah dari segi moral, meskipun dia mengaku membunuh anak-anaknya.
Peguam Lee berhujah bahawa dia tidak bersalah atas alasan tidak siuman, mendakwa kematian suaminya pada 2017 menyebabkan Lee mengalami kemurungan teruk.
Seorang pakar psikiatri forensik yang menjadi saksi pembelaan menjelaskan keadaan mental Lee, termasuk kemurungan, pemikiran untuk bunuh diri, rasa bersalah dan kepercayaan bahawa membunuh anak-anaknya adalah tindakan yang betul.
Namun, pihak pendakwa berhujah Lee sedar apa yang dilakukannya, merujuk kepada usaha menyembunyikan mayat sebelum melarikan diri ke luar negara. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


