LONDON: Perdana Menteri Britain Andy Burnham telah bertukar mesej dengan seseorang yang menyamar sebagai ketua pegawai staf Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Burnham berhubung dengan individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pembantu kanan Rumah Putih, Susie Wiles, sebelum kebimbangan berhubung insiden itu dibangkitkan.
Difahamkan, tiada mesej penting yang dihantar, dan aktiviti mencurigakan itu dilaporkan dengan pantas kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Kedutaan Britain di Washington amat bimbang sehingga membangkitkan perkara itu dengan Rumah Putih, menurut laporan London Playbook Politico yang mula-mula melaporkan perbualan berkenaan.
Jurucakap Kerajaan United Kingdom (UK) berkata: "Kami tidak mengulas mengenai isu keselamatan negara."
Tahun lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah melancarkan siasatan terhadap usaha untuk menggodam telefon Wiles selepas seorang individu tidak dikenali menghubungi beberapa tokoh Parti Republikan dan pemimpin perniagaan dengan menyamar sebagai beliau.
Belum dipastikan bila mesej berkenaan dihantar dan apa yang dibincangkan antara Burnham - yang menggantikan Keir Starmer pada 20 Julai - dan penyamar itu.
-- BERNAMA-dpa