DUNIA
CAAT sahkan langkah keselamatan penerbangan di sebalik ketegangan sempadan Thailand-Kemboja

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menegaskan bahawa langkah keselamatan penerbangan yang ketat terus dilaksanakan susulan ketegangan yang semakin meningkat di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja. - Foto hiasan/REUTERS
BANGKOK: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menegaskan bahawa langkah keselamatan penerbangan yang ketat terus dilaksanakan susulan ketegangan yang semakin meningkat di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.
Ketua Pengarah CAAT, Ketua Marsyal Udara Manat Chavanaprayoon berkata walaupun nasihat ruang udara dikeluarkan bagi kawasan yang terjejas, zon larangan hanya terhad kepada kawasan konflik dan tidak menjejaskan operasi penerbangan awam secara keseluruhan.
Beliau berkata pihaknya memantau rapi perkembangan situasi semasa dan sentiasa berkoordinasi dengan Aeronautical Radio of Thailand Ltd. (AEROTHAI) bagi memastikan penerbangan masuk dan keluar dari Thailand berjalan dengan selamat dan lancar.
"Walaupun beberapa syarikat penerbangan mengurangkan kekerapan penerbangan tertentu, data tempahan menunjukkan bahawa jumlah tempat duduk yang tersedia masih mencukupi untuk memenuhi permintaan penumpang."Beberapa syarikat penerbangan juga menggunakan pesawat lebih besar bagi menampung lebih ramai penumpang bagi setiap penerbangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau berkata laluan penerbangan tertentu, terutamanya ke Kemboja, Vietnam dan Filipina mungkin memerlukan sedikit pelarasan bagi mengelakkan kawasan konflik.
CAAT mengesahkan bahawa perubahan laluan ini adalah berskala kecil dan operasi penerbangan masih berjalan seperti biasa.
"CAAT menasihatkan penumpang yang mempunyai perancangan perjalanan ke destinasi terbabit agar sentiasa mengikuti pengumuman terkini daripada syarikat penerbangan, menyemak keperluan perjalanan, serta memastikan semua dokumen berkaitan lengkap bagi melancarkan urusan perjalanan," katanya.
Sekiranya berlaku sebarang masalah atau pertanyaan lanjut, Manat berkata penumpang boleh menghubungi syarikat penerbangan masing-masing atau membuat aduan menerusi laman sesawang: complaint.caat.or.th.
Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja memuncak pada 24 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di sepanjang sempadan utara Kemboja.
Setakat ini, lebih 20 kematian dilaporkan di pihak Thailand manakala pihak berkuasa Kemboja mengesahkan 13 kematian termasuk lima anggota tentera.
Ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan telah dipindahkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami