SAINTIS menggesa dunia memastikan negara berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada penyelidikan untuk memerangi penyakit cacar monyet yang semakin meningkat di negara barat.

Setakat ini lebih daripada 550 kes cacar monyet yang disahkan dilaporkan di 30 negara menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Para saintis berdepan cabaran dalam mengenal pasti peningkatan kes di Eropah memandangkan kebanyakannya tidak dikatikan dengan perjalanan ke Afrika.

Negara-negara di Afrika merekodkan wabak cacar monyet sejak virus itu pertama kali ditemui pada manusia pada 1970.

Menurut Ketua Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Nigeria, Ifedayo Adetifa pada Khamis, terdapat wabak yang berterusan di Nigeria sejak 2017 yang setakat ini mengakibatkan 600 kes disyaki dan hampir 250 kes disahkan.

Industri biofarmaseutikal dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah membuat komitmen dalam memberikan vaksin, rawatan dan membangunkan lebih banyak diagnostik untuk menangani cacar monyet.

Sementara itu, menurut Pengarah Kanan Ancaman Baharu dan Keselamatan Kesihatan Global di FIND, Daniel Bausch, semua pihak perlu menyedari bahawa cacar monyet bukan penyakit baharu.

Dalam pada itu, WHO berkata, haiwan dan manusia mengubah tingkah laku mereka termasuk tabiat mencari makan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca yang berubah pantas dikaitkan dengan perubahan iklim.

Ini menunjukkan bahawa patogen yang dahulu secara amnya terhad kepada geografi tertentu lebih cenderung untuk merebak lebih jauh dan berpotensi menular antara manusia dan spesies haiwan yang terdedah.

Pada Khamis, beberapa pakar kesihatan membangkitkan kebimbangan cacar monyet dan penyakit berjangkit lain boleh berjangkit kepada haiwan melalui sisa perubatan manusia.

Mereka memberi amaran bahawa kewaspadaan berterusan dan kerjasama global adalah penting untuk menggagalkan wabak cacar monyet semasa.