SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan kes jangkitan tempatan kedua cacar monyet di negara berkenaan, pada Rabu.

Memetik laporan CNA, pesakit itu adalah lelaki British berusia 48 tahun yang menetap di Singapura.

Menurut MOH, lelaki terbabit disahkan positif cacar monyet selepas menjalani saringan pada Rabu.

"Pesakit kini sedang menerima rawatan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dan dilaporkan stabil," menurut kenyataan pada Khamis.

Lelaki itu dilaporkan mula mengalami masalah kulit bahagian bawah perut mulai 6 Julai dan kemudiannya  demam selain bengkak kelenjar pada 11 Julai, sebelum merujuk kepada hospital berkenaan pada Rabu lalu. 

MOH memberitahu, pada ketika ini, pihaknya sedang menjalankan pengesanan kontak.

"Namun, kes ini tiada kaitan dengan mana-mana kes cacar monyet yang dikesan di Singapura sebelum ini," jelasnya.

Sebelum ini, republik itu mengesahkan kes jangkitan tempatan pertama cacar monyet melibatkan lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun yang menetap di Singapura.

Ini menjadikan lima kes dikesan di negara itu sejak Jun dengan tiga daripadanya adalah kes import.

Cacar monyet ialah penyakit virus disebabkan oleh jangkitan virus di mana lazimnya pesakit akan pulih dalam tempoh dua hingga empat minggu.

Pesakit dikesan mengalami simptom seperti luka pada kulit bahagian bawah abdomen, keletihan, kelenjar nodus limfa membengkak, demam, dan sakit tekak.