SINGAPURA: Singapura mengesahkan kes tempatan pertama membabitkan jangkitan cacar monyet.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu pada Rabu, pesakit adalah seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 45 tahun yang menetap di Singapura.

Dia disahkan positif pada Rabu, lapor Reuters.

Tiga kenalan rapat lelaki itu dikenal pasti setakat Rabu, dan kesemuanya akan dikuarantin selama 21 hari selepas pertemuan terakhir mereka, tambah kenyataan itu lagi.

Pesakit dikesan mengalami simptom seperti luka pada kulit bahagian bawah abdomen, keletihan, kelenjar nodus limfa membengkak, demam, dan sakit tekak.

Keadaannya dilaporkan stabil dan kini dirawat di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) di Singapura.

Menurut kenyataan kementerian itu lagi, risiko penularan kepada orang awam masih rendah.

Siasatan mendapati pesakit itu tiada kaitan dengan kes import yang diumum bulan lepas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 6,000 kes cacar monyet dilaporkan di 58 negara setakat ini.