WASHINGTON: White House berjanji akan berusaha sebaik mungkin bagi menamatkan wabak cacar monyet.

Ini susulan kerajaan persekutuan mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan awam pada Khamis bagi meningkatkan tindak balas terhadap wabak yang kini menjangkiti lebih 6,000 rakyat Amerika Syarikat (AS).

Lebih 1.1 juta dos vaksin kini tersedia dan kapasiti diagnostik domestik dipertingkat kepada 80,000 ujian setiap minggu, menurut kenyataan White House.

"Kami telah menyediakan lebih daripada 1.1 juta dos dan menghantar lebih daripada 600,000 dos.

"Dos tersebut kini dihantar ke negeri-negeri dan sebagainya, dan dengan dos tambahan dihantar setiap hari.

"Kami juga telah memesan 5.5 juta dos tambahan. Ini hanyalah sebahagian daripada proses yang berlaku.

"Kami bertindak pantas dalam perkara ini, dan itulah yang kami lakukan beberapa minggu kebelakangan."

Pengisytiharan itu dibuat ketika pentadbiran Presiden Joe Biden berdepan kritikan mengenai kesiapsiagaan vaksin cacar monyet.

Klinik di bandar utama seperti New York dan San Francisco mendakwa mereka tidak menerima cukup vaksin dua suntikan untuk memenuhi permintaan.

Ada juga klinik yang terpaksa berhenti menawarkan dos kedua untuk memastikan ketersediaan bekalan dos pertama.

Negeri-negeri seperti California, Illinois dan New York  telah membuat pengisytiharan kecemasan pada minggu lepas, begitu juga dengan New York City, San Francisco dan San Diego County.