INTERNATIONAL
Cadangan India sekat akses Pakistan terhadap Sungai Indus mungkin ambil masa bertahun
Pakistan menyifatkan sebarang cubaan untuk mengubah aliran sistem sungai itu akan dianggap sebagai tindakan peperangan. - Freepik
NEW DELHI: Rancangan India untuk menamatkan akses Pakistan kepada sistem Sungai Indus mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar harian India Tribune pada Jumaat, dengan merujuk kepada sumber yang tidak dinamakan.
India mengenakan beberapa sekatan terhadap Pakistan susulan serangan pengganas pada Selasa. Penggantungan Perjanjian Air Indus 1960 antara tindakan balas oleh New Delhi. Pakistan menyifatkan sebarang cubaan untuk mengubah aliran sistem sungai itu akan dianggap sebagai tindakan peperangan.
Pakar dilaporkan mengenal pasti dua cara untuk menghentikan aliran air ke Pakistan iaitu sama ada dengan menyimpan air atau mengalihkan alirannya, namun kedua-dua pilihan itu menghadapi cabaran besar.
"Air tidak boleh dihentikan secara mendadak. Bagaimanapun, kita boleh meneroka cara untuk menggunakan air sungai barat dengan menilai kebolehlaksanaan projek simpanan atau pengalihan. Projek seperti ini mungkin mengambil masa sedekad atau lebih untuk disiapkan.
Penggantungan perjanjian ini adalah langkah pertama. Kini kita boleh memulakan kajian kebolehlaksanaan yang sebelum ini tidak dipertimbangkan," kata salah seorang sumber kepada akhbar itu.
Jika air disimpan, ia berpotensi menyebabkan banjir di Lembah Kashmir, menurut Yayasan Penyelidikan Pemerhati (Observer Research Foundation). India akan memerlukan 30 takungan bersaiz seperti Empangan Tehri setiap tahun untuk menyimpan air itu, di samping kawasan tanah yang luas, menurut yayasan itu.
Perjanjian Air Indus ditandatangani antara India dan Pakistan pada 1960 bagi mengatur pembahagian air antara kedua-dua negara. Ia menetapkan kawalan India ke atas "sungai timur" - Ravi, Beas dan Sutlej - manakala Pakistan menguasai "sungai barat" iaitu Indus, Jhelum dan Chenab.
Mengikut perjanjian itu, India diwajibkan membenarkan aliran air sungai barat ke Pakistan kecuali dalam keadaan tertentu. Perjanjian tidak mengandungi peruntukan yang membenarkan mana-mana pihak menggantung atau menamatkannya secara unilateral.
Pada Selasa, satu serangan berlaku di Jammu dan Kashmir yang meragut 26 nyawa, termasuk seorang rakyat Nepal. Menurut sumber polis, tiga lelaki bersenjata berpakaian celoreng melepaskan tembakan rambang ke arah pelancong yang menunggang kuda di Lembah Baisaran, berhampiran Bandar Pahalgam.
Kumpulan Resistance Front yang dikaitkan dengan Lashkar-e-Taiba (diwartakan sebagai kumpulan pengganas di Rusia) mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
-- BERNAMA