Skip to main content

Dunia

Cadangan wujudkan santuari paus Atlantik Selatan sekali lagi terhalang

Jika diluluskan, ia akan menjadi santuari paus ketiga di dunia, selepas kawasan perlindungan sedia ada di Antartika dan Lautan Hindi. - Foto fail/AP
Jika diluluskan, ia akan menjadi santuari paus ketiga di dunia, selepas kawasan perlindungan sedia ada di Antartika dan Lautan Hindi. - Foto fail/AP

Advertisement

SYDNEY: Cadangan untuk mewujudkan santuari paus baharu di Atlantik Selatan sekali lagi gagal dalam mesyuarat Suruhanjaya Paus Antarabangsa (IWC) yang berlangsung di Hobart, Australia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Cadangan yang pertama kali dikemukakan oleh Argentina, Brazil dan Uruguay pada akhir 1990-an itu kurang empat undi daripada majoriti tiga perempat yang diperlukan, menurut peserta mesyuarat.

Jika diluluskan, ia akan menjadi santuari paus ketiga di dunia, selepas kawasan perlindungan sedia ada di Antartika dan Lautan Hindi.

Jerman mengundi menyokong cadangan itu. Menurut Greenpeace,  penyokong lain termasuk Finland dan Luxembourg, tidak hadir di Tasmania manakala pihak yang menentang terus mempertahankan pendirian mereka.

“Cadangan santuari Atlantik Selatan yang berkeluasan lebih daripada dua kali ganda saiz Amerika Syarikat (AS) akan menjadi langkah penting ke arah pemuliharaan marin,” kata ahli biologi marin Greenpeace, Franziska Saalfeld.

Tentangan terhadap cadangan itu datang daripada negara seperti Norway, Ivory Coast dan beberapa negara Caribbean.

Jepun, yang meninggalkan IWC pada 2019  membentuk pakatan dengan beberapa negara Afrika dan Caribbean yang dilihat oleh kumpulan pemuliharaan sebagai mewakili kepentingan Tokyo dalam suruhanjaya berkenaan.

Matt Collis daripada Dana Antarabangsa untuk Kebajikan Haiwan (IFAW) mengkritik negara pemburu paus dan penyokong mereka kerana terus menghalang cadangan itu walaupun mereka tidak menjalankan aktiviti pemburuan paus di rantau berkenaan.

Kira-kira 300 perwakilan dari lebih 60 negara bermesyuarat di Hobart sejak Isnin.

Walaupun terdapat larangan global terhadap pemburuan paus secara komersial, Norway, Iceland dan Jepun terus menjalankan aktiviti berkenaan

 -- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement