Cadangan zon waktu seragam ASEAN ditangguh - Anifah Aman

Bernama
April 26, 2015 13:46 MYT
Pada masa ini, ASEAN mempunyai empat zon waktu manakala Indonesia tiga. Zon waktu seragam yang dicadangkan ialah GMT8.
Cadangan untuk mewujudkan zon waktu seragam bagi ibu kota ASEAN ditangguhkan berikutan wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan negara anggota perkumpulan serantau itu.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) di sini, hari ini.
"Terdapat perbezaan pendapat tentang perkara ini. Mesyuarat mengambil keputusan menangguhkan cadangan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat AMM menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 esok.
Pada masa ini, ASEAN mempunyai empat zon waktu manakala Indonesia tiga. Zon waktu seragam yang dicadangkan ialah GMT+8.
Presiden Indonesia Joko Widodo, ketika melakukan lawatan negara tiga hari ke Putrajaya pada Februari lepas, menyuarakan hasrat beliau supaya perbincangan berhubung zon waktu seragam itu dapat diadakan di peringkat ASEAN dengan secepat mungkin.
Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan cadangan mengenai zon waktu tunggal ASEAN kepada Presiden Myanmar U Thein Sein dalam rundingan mereka di Putrajaya.
#Anifah Aman #ASEAN #Brunei #Indonesia #Malaysia #Myanmar #Singapura #zon waktu