WASHINGTON: Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menggesa Amerika Syarikat (AS) dan komuniti antarabangsa mengenakan sekatan terhadap Israel susulan laporan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa tentera Israel terus menyasarkan dan membunuh kanak-kanak Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
Laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Bebas Antarabangsa PBB itu mendapati tindakan Israel termasuk pembunuhan, kecederaan serius dan penderitaan terhadap kanak-kanak Palestin merupakan sebahagian daripada pola yang berterusan dan sistematik, yang disifatkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Pengarah Eksekutif Nasional CAIR, Nihad Awad, dalam kenyataannya menegaskan bahawa tindakan segera perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghentikan keganasan tersebut.
“Setiap kanak-kanak yang terbunuh, cedera, kelaparan, mengalami trauma atau menjadi yatim di Gaza adalah peringatan menyayat hati terhadap kegagalan kita mempertahankan prinsip asas hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau menambah bahawa dapatan laporan PBB itu mengesahkan pelbagai laporan sebelum ini daripada badan kemanusiaan dan aktivis hak asasi yang mendokumentasikan penderitaan besar-besaran kanak-kanak Palestin.
Sehubungan itu, CAIR menegaskan bahawa penamatan bantuan tanpa syarat kepada Israel sahaja tidak mencukupi, sebaliknya sekatan menyeluruh perlu dikenakan sehingga negara itu menghentikan pelanggaran hak asasi manusia.
Laporan PBB tersebut menyatakan terdapat bukti bahawa kanak-kanak Palestin sengaja disasarkan dalam konflik yang berlarutan sejak Oktober 2023.
Menurut laporan itu, kira-kira 30 peratus daripada mereka yang terbunuh di Gaza adalah kanak-kanak, mencerminkan skala kesan yang luar biasa terhadap golongan tersebut.
Siasatan juga mendapati tindakan menyasarkan kanak-kanak merupakan salah satu elemen utama yang menunjukkan niat untuk melemahkan masa depan rakyat Palestin secara keseluruhan.
Selain kematian, kanak-kanak turut berdepan pelbagai penderitaan lain termasuk kecederaan serius, trauma psikologi, kehilangan tempat tinggal serta kekurangan makanan dan rawatan kesihatan.
Laporan tersebut mencetuskan kecaman meluas daripada kumpulan hak asasi dan badan kemanusiaan, yang mendesak tindakan segera bagi memastikan akauntabiliti terhadap pelaku.
Namun, Israel menolak keras dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan propaganda, sambil menegaskan bahawa operasinya mensasarkan ancaman keselamatan susulan serangan oleh Hamas pada Oktober 2023.
Dengan peningkatan angka korban dan penderitaan yang berterusan, tekanan terhadap kerajaan-kerajaan dunia untuk mengambil tindakan dilihat semakin memuncak.
CAIR menegaskan bahawa tindakan kolektif termasuk oleh Kongres AS, pentadbiran kerajaan, institusi antarabangsa serta masyarakat sivil amat penting bagi menghentikan keganasan dan melindungi masa depan kanak-kanak Palestin.