INTERNATIONAL
California atasi Jepun sebagai ekonomi keempat terbesar dunia
California kini berada di belakang AS (US$29.18 trilion), China (US$18.74 trilion) dan Jerman (US$4.65 trilion). - Foto hiasan/Unsplash
ISTANBUL: California mengatasi Jepun untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia, menurut Gabenor Gavin Newsom yang memetik data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Biro Analisis Ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Ringkasan AI
- California kini menjadi ekonomi keempat terbesar dunia, mengatasi Jepun dengan KDNK mencecah US$4.1 trilion pada 2024.
- Pertumbuhan ekonomi California (6 peratus) melebihi AS, China, dan Jerman, didorong oleh pelaburan dalam rakyat dan inovasi.
- Gabenor Newsom memberi amaran kemajuan ini boleh terjejas akibat dasar tarif AS, dan menegaskan pentingnya melindungi ekonomi negeri itu.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal negeri itu mencecah US$4.1 trilion pada 2024, mengatasi Jepun yang mencatatkan US$4.02 trilion, lapor Anadolu Ajansi (AA).
California kini berada di belakang AS (US$29.18 trilion), China (US$18.74 trilion) dan Jerman (US$4.65 trilion).
"California bukan sahaja setanding dengan dunia - kita menetapkan rentaknya. Ekonomi kita terus berkembang kerana kita melabur dalam rakyat, mengutamakan kelestarian dan percaya pada kuasa inovasi," kata Newsom dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa kemajuan negeri itu boleh terjejas akibat dasar tarif pentadbiran Trump yang disifatkannya sebagai "tidak bertanggungjawab", sambil menegaskan bahawa "ekonomi California adalah pemacu ekonomi negara dan mesti dilindungi."
Ekonomi California berkembang 6 peratus pada 2024, mengatasi kadar pertumbuhan AS (5.3 peratus), China (2.6 peratus) dan Jerman (2.9 peratus).
Dengan populasi kira-kira 40 juta orang, California merupakan pusat utama teknologi dan hiburan, selain mendahului AS dalam pengeluaran pembuatan dan pertanian.
-- BERNAMA