DUNIA
Calon Datuk Bandar NYC ditahan ejen persekutuan di mahkamah imigresen
Lander ditahan kerana didakwa “menghalang tugas pegawai persekutuan” dan “menyerang penguat kuasa undang-undang”. - Foto AP
NEW YORK: Calon Datuk Bandar New York City dan Pegawai Kewangan Bandar (Comptroller), Brad Lander, telah ditahan oleh ejen persekutuan di luar mahkamah imigresen pada Selasa, mencetuskan kecaman meluas terhadap tindakan pihak berkuasa persekutuan.
Ringkasan AI
- Calon Datuk Bandar New York, Brad Lander, ditahan oleh ejen ICE di luar mahkamah imigresen ketika mengiringi seorang defendan, lalu mencetuskan kecaman meluas.
- Lander didakwa menghalang tugas pegawai, namun menafikannya dan menegaskan beliau hanya menuntut waran sah; beliau dibebaskan tanpa pertuduhan rasmi.
- Pemimpin tempatan dan kumpulan hak asasi kecam insiden itu sebagai penyalahgunaan kuasa dan ancaman terhadap demokrasi.
Lander telah dibebaskan beberapa jam kemudian.
Insiden berlaku ketika Lander mengiringi seorang defendan keluar dari mahkamah imigresen di 26 Federal Plaza, Manhattan.
Menurut video yang tular, beliau dilihat berpegangan tangan dengan individu tersebut sebelum didatangi beberapa ejen Imigresen dan Kastam (ICE) yang memakai topeng dan pakaian biasa.
Lander berulang kali meminta untuk melihat waran kehakiman sebelum ditolak ke dinding dan digari.
Jurucakap kempen Lander menyatakan bahawa beliau hadir untuk menyokong individu yang menghadapi prosiding imigresen dan menegaskan bahawa penahanan itu adalah satu bentuk intimidasi terhadap pemimpin awam yang mempertahankan hak asasi manusia.
Menurut kenyataan ICE, Lander ditahan kerana didakwa “menghalang tugas pegawai persekutuan” dan “menyerang penguat kuasa undang-undang”.
Namun, Lander menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa beliau hanya meminta waran sah, sambil menyatakan, “Anda tidak mempunyai kuasa untuk menahan warganegara AS yang hanya bertanya tentang waran kehakiman.”
Penahanan itu mencetuskan reaksi pantas daripada pemimpin tempatan dan pertubuhan hak asasi.
Peguam Negara New York, Letitia James, menyifatkan tindakan itu sebagai “penyalahgunaan kuasa yang mengejutkan”, manakala Kesatuan Kebebasan Sivil New York (NYCLU) menyifatkannya sebagai “ancaman terhadap demokrasi”.
Lander telah dibebaskan tanpa didakwa secara rasmi, dan menyatakan bahawa beliau akan terus memperjuangkan hak pendatang serta menentang taktik penahanan yang tidak berperlembagaan.