SYDNEY: Wilayah Ibu Negara Australia (ACT), yang menempatkan bandar raya Canberra, akan menyertai program beli balik senjata api sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan senjata susulan serangan bersenjata di Bondi Beach, Sydney, yang meragut 15 nyawa pada Disember tahun lalu.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata keputusan itu dibuat bagi mengurangkan jumlah senjata api dalam kalangan orang awam dan mengelakkan insiden serupa daripada berulang.
“Kerajaan ACT bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan dalam usaha mengeluarkan lebih banyak senjata api dari jalanan demi melindungi rakyat Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan pusat memperkenalkan undang-undang baharu pada Januari lalu yang merangkumi program beli balik senjata api, pemeriksaan lesen pemilikan yang lebih ketat serta tindakan lebih tegas terhadap jenayah kebencian berikutan serangan semasa sambutan Hanukkah di Bondi Beach pada 14 Disember 2025.
New South Wales, negeri paling ramai penduduk di Australia, menjadi wilayah pertama menyertai program tersebut yang dijadual bermula pada 2 November depan.
ACT kini menjadi wilayah kedua yang menyertai inisiatif berkenaan.
Menurut kerajaan Australia, ACT mempunyai kira-kira 23,000 senjata api berdaftar dan lebih 7,000 pemegang lesen senjata api.
Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan program beli balik di wilayah itu belum diumumkan.
Serangan Bondi Beach didakwa dilakukan oleh dua lelaki iaitu seorang bapa dan anak yang, menurut polis, terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan Negara Islam (IS).
Mereka menggunakan senjata api berkuasa tinggi yang diperoleh secara sah.
Suspek yang masih hidup kini berdepan pelbagai pertuduhan termasuk 15 tuduhan membunuh, namun belum mengemukakan pengakuan di mahkamah.
Data kerajaan menunjukkan Australia merekodkan kira-kira 4.1 juta senjata api tahun lalu, jumlah tertinggi dalam sejarah negara itu.
Program baharu itu dijangka menjadi kempen beli balik senjata api terbesar di Australia sejak pelaksanaan langkah serupa selepas tragedi Port Arthur di Tasmania pada 1996 yang mengorbankan 35 orang dan membawa kepada reformasi besar undang-undang senjata negara tersebut.