WASHINGTON: Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) telah mengeluarkan beberapa imej yang menunjukkan pasukan tentera laut negara itu memintas sebuah kapal yang dikaitkan dengan Iran sebagai sebahagian daripada sekatan laut yang sedang dilaksanakan di rantau Asia Barat.
Menurut CENTCOM, kapal kargo berkenaan, Touska, ditembak dan dilumpuhkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) sebelum dirampas pada Ahad.
Advertisement
Operasi itu dijalankan selepas kapal tersebut didakwa cuba melanggar sekatan laut yang dikenakan oleh Washington.
Dalam satu kenyataan di media sosial, CENTCOM berkata pasukan AS sedang meronda di Laut Arab berhampiran Touska pada 20 April ketika muatan kontena kapal berbendera Iran itu diperiksa, selepas tentera Marin AS menaiki dan merampas kapal tersebut.
“Tentera AS sedang meronda di Laut Arab berhampiran M/V Touska pada 20 April, ketika muatan kontena kapal berbendera Iran itu diperiksa selepas ia dirampas oleh tentera Marin AS kerana cuba melanggar sekatan laut Amerika,” menurut kenyataan CENTCOM.
U.S. forces patrol the Arabian Sea near M/V Touska, April 20, as the Iranian-flagged vessel's container cargo is searched after U.S. Marines boarded and seized the ship when it attempted to violate the U.S. naval blockade. pic.twitter.com/Czs127lK6p
— U.S. Central Command (@CENTCOM) April 20, 2026
Tindakan AS itu berlaku ketika kesahihan penutupan Selat Hormuz oleh Iran serta sekatan laut AS dipersoalkan oleh pakar undang-undang antarabangsa.
Tehran pula menegaskan ia tidak akan mempertimbangkan sebarang pusingan rundingan baharu dengan Washington selagi sekatan laut tersebut tidak ditamatkan.
Insiden terbaharu ini dijangka terus meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara, khususnya berhubung keselamatan perkapalan dan bekalan tenaga global, memandangkan Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan minyak yang kritikal dunia.