INTERNATIONAL
CEO Web Summit anggap tindakan tarif Amerika Syarikat 'satu kesilapan besar'
Menurut laporan Financial Times sebelum ini, AS kini menyumbang hanya 13 peratus daripada jumlah import barangan global, merosot daripada hampir satu perlima dua dekad lepas. - Gambar/ Reuters
GENEVA: Paddy Cosgrave, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Web Summit Limited, sebuah firma swasta yang menganjurkan Web Summit dan persidangan seumpamanya di seluruh dunia - menyifatkan tindakan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) sebagai "satu kesilapan besar".
Ringkasan AI
- Pengasas bersama Web Summit, Paddy Cosgrave, menyifatkan tindakan tarif Amerika Syarikat sebagai "satu kesilapan besar" yang menunjukkan kebergantungan besar terhadap China dalam rantaian bekalan.
- Cosgrave menyatakan bahawa China akan memainkan peranan penting di peringkat global, dengan kecekapan industri yang luar biasa dan sokongan sistem pendidikan serta kapasiti penyelidikan yang tinggi.
- Persidangan Web Summit menghimpunkan komuniti global untuk bertukar idea mengenai teknologi dan trend yang membentuk dunia masa kini.
Cosgrave menyuarakan pandangannya itu dalam satu temu bual dalam talian bersama Xinhua pada Ahad, di luar acara Web Summit Rio yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil, dari 27 hingga 30 April. Acara itu merupakan sebahagian daripada siri aktiviti Web Summit, termasuk persidangan teknologi utama yang diadakan setiap tahun di Lisbon sejak 2016.
"Ia satu kesilapan besar oleh Amerika Syarikat. Mereka seolah-olah menyerahkan kad penentu sama ada mereka masih menjadi kuasa dominan dunia. Kini jelas bahawa kita tidak lagi hidup dalam dunia unipolar," katanya kepada Xinhua menerusi pautan video ketika mengulas kesan lebih luas tindakan tarif AS terhadap rakan dagang, termasuk China.
"Amerika Syarikat sebenarnya tidak banyak menghasilkan barangan. Terdapat kebergantungan besar terhadap China dalam rantaian bekalan," katanya.
Menurut laporan Financial Times sebelum ini, AS kini menyumbang hanya 13 peratus daripada jumlah import barangan global, merosot daripada hampir satu perlima dua dekad lepas.
Data pihak berkuasa China menunjukkan bahawa China kekal sebagai sumber import kedua terbesar bagi AS, dengan import AS dari China menyumbang 13.8 peratus daripada jumlah import negara itu pada 2024.
Mengenai pengaruh China yang semakin meningkat di peringkat global, Cosgrave berkata negara Asia itu akan memainkan peranan penting.
Beliau berkata China telah membangunkan "kecekapan industri yang luar biasa" secara teliti dan strategik, disokong oleh sistem pendidikan dan kapasiti penyelidikannya yang berada pada tahap terkemuka dunia.
Setiap tahun, persidangan Web Summit menghimpunkan komuniti global yang terdiri daripada pengasas syarikat, usahawan, pemimpin perniagaan dan pelabur untuk berhubung dan bertukar idea mengenai teknologi dan trend yang membentuk dunia masa kini.
-- BERNAMA