INDUSTRI boleh menjadi hebat dan buruk

Sementara ia boleh mengubah kehidupan, mencipta pekerjaan dan menghasilkan produk-produk penting, kita semakin sedar terhadap pencemaran dan kerosakan yang timbul akibat daripadanya. Lagipun, inovasi teknologi dan digital dengan mudah memusnahkan industri yang dahulu kita pernah anggap sebagai tidak berubah dan terus hidup.

Wilayah Cilegon di Indonesia (kira-kira 102 kilometer ke barat Jakarta) adalah sebuah hab industri terbesar Asia Tenggara -- boleh dibandingkan dengan Johor Selatan di Malaysia, Vung Tau di Vietnam, Jurong di Singapura dan Koridor Ekonomi Thailand Timur (berpusat utamanya di sekitar wilayah Rayong).

Relau peleburan merah karat Krakatau-Posco - terletak di Cilegon - adalah setinggi sebuah bangunan 10 tingkat. Ia menaungi sebuah landskap distopia terdiri daripada bengkel dan kilang yang berdebu. Terdapat suatu perarakan pengangkut besar yang berpanjangan berbunyi nada rendah ketika mana struktur gergasi itu mengeluarkan kira-kira 8300 tan keluli cair setiap hari.

Relau peleburan berada di tengah-tengah pembuatan. Mula dibangunkan oleh orang China semasa Dinasti Han dan kemudian diubah suai oleh orang Parsi, Sweden dan Inggeris, prosesnya telah berkembang menjadi lebih canggih. Bagaimanapun, pada terasnya, asasnya merupakan transformasi bijih besi kepada besi jongkong dan keluli menggunakan kok logam, kapur dan letupan air atau oksigen.

Apa yang sekarang merupakan kluster Krakatau Steel (dengan kapasiti penuh berjumlah 10 juta) mula diperkenalkan oleh Presiden Sukarno pada awal 1950-an sebagai Projek Keluli Trikora dengan menggunakan teknologi Rusia. Ia merupakan fasiliti pembuatan keluli terbesar di Asia Tenggara hinggalah pemasangan loji relau peleburan Formosa Ha Tinh Steel (FHS) di Vietnam.



Mengapa Cilegon? Pertamanya, dalam bahasa Sunda, nama itu adalah satu gabungan dua perkataan: "cai" dan "legon" , bermakna "air" dan "sekitar" . Seperti apa yang dinyatakan oleh namanya, Cilegon adalah sebuah komuniti pantai kecil yang menjadi pusat pertemuan antara Jawa dan Sumatera. Berhampiran dengan pulau Sumatera yang lebih besar dan kaya sumber, ia juga memberikan akses mudah kepada bekalan kritikal arang batu dan bijih timah.

Gunung berapi yang terkenal, Krakatau (juga nama kilang besi itu) dan mungkin juga relau "semula jadi" paling besar di dunia, terutamanya dengan ledakan dahsyat tahun 1883, adalah hanya 60 kilometer ke barat daya.

Kluster pembuatan keluli itu telah berkembang secara eksponensial. Ia kini menghasilkan satu julat luas produk: dari kepingan tebal (blok keluli berbentuk tilam yang boleh meningkat ke 12 meter dan berat 35 tan), ke kepingan tipis, paip dan rebar (digunakan untuk pembinaan) dan juga khasis kereta, membekal Industri kereta Indonesia yang sedang berkembang. Pada tahun 2018 sendiri, pembuat-pembuat dan pemasang-pemasang kereta yang kebanyakannya dari Jepun menghasilkam lebih 1.35 juta unit dengan pertumbuhan pada lima peratus setahun.



Sementara itu, industri-industri lain -- dari simpanan petroleum ke petrokimia dan penjanaan kuasa - telah bergerak ke Cilegon, tertarik dengan lokasi strategiknya di hujung Selat Sunda.

Gergasi petrokimia Indonesia - termasuk Chandra Asri, Asahimas dan Lotte Chemical -- kesemuanya berpangkalan berhampiran -- tertarik dengan kluster terminal di Merak. Kawasan itu juga mempunyai kapasiti menghasilkan 5,605MW elektrik, kebanyakannya dari loji kuasa yang digerakkan oleh arang batu seperti yang ada di Surabaya. Sebanyak 6220MW kapasiti lagi akan ditambah tidak lama lagi.

Kebanyakan produk dari Cilegon diangkut ke kawasan industri ringan intensif di Bekasi dan Karawang ke timur Jakarta -- menghasilkan suatu masalah logistik yang tidak dapat dielakkan apabila barangan dan bahan mentah diangkut merentasi salah satu konurbasi penduduk paling padat di dunia.

Diversifikasi adalah suatu prospek yang sukar. Hartanah di Cilegom menjadi amat mahal, apabila harga semeter persegi melepasi apa yang ada di Karawang. Pada waktu sama banyak masalah birokratik masih kekal tidak dapat diselesaikan.

Dan kemudian terdapat sudut alam sekitar.



Kembali di Cilegon, Pasukan Ceritalah bertemu dengan Mas Teguh yang berusia 31 tahun. Seorang anak tempatan, beliau bekerja di fasiliti Krakatau sebagai operator peralatan. Duduk di sebuah gerai air kelapa di tepi jalan utama yang sentiasa dipenuhi dengan trak kargo berwarna cerah berulang alik dari pelbagai kilang, Teguh menghimbau waktu kurang sibuk di Cilegon. "Saya masih ingat ketika kompleks kediaman di sini dulunya adalah sawah padi. Sekarang, semua petani telah menjadi pekerja keluli."

Perindustrian jelas telah mengubah kehidupan: "Kini kita boleh membesarkan anak-anak dan membeli rumah di sini tanpa berhijrah ke bandar lebih besar."

Tetapi telah berlaku keburukan. Menurut Pak Teguh, mutu udara Cilegon telah merosot dengan besar.

Terdapat juga persoalan mendalam dan eksistensial yang dihadapi oleh gerakan Indonesia ke dalam industri berat. "Revolusi Industri Keempat" -- suatu era automasi dan pertukaran data yang mana mesin-mesin berangkaian berespons secara intuisi kepada keperluan kita -- dan juga ancaman sentiasa ada dari gelombang kekacauan ekonomi.



Bolehkah tempat seperti Cilegon dapat terus hidup? Seperti apa yang ada sekarang, keluli dapat dihasilkan dengan lebih murah dan efisien di tempat-tempat lain. Pengeluar China boleh menghasilkan keluli pada ASD400 setan, berbanding dengan ASD600 oleh pesaing Indonesianya. Pihak industri telah menuntut diadakan tarif. Bagaimanapun, seperti mana Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla tunjukkan, sebahagian daripada masalah itu ialah teknologi yang sudah ketinggalan.

Malah, hanya bulan lalu, dilaporkan bahawa ribuan pekerja membuat bantahan selepas Krakatau Steel mengumumkan rancangan supaya dipotong 30 peratus daripada 6,264 tenaga pekerjanya secara berperingkat menjelang tahun 2020.

Begitulah dilema yang dihadapi oleh bandar raya industri seperti Cilegon - dan orang yang tinggal dan bekerja di situ seperti Mas Teguh. Tindakan menyelesaikannya merupakan kunci jika Indonesia mahu memenuhi impian lamanya untuk menjadi negara kuasa pembuatan Asia.

Tentunya pada era Trump ini, dengan datangnya perang dagang, Indonesia mungkin dapat diapungkan kerana pasaran domestiknya yang besar. Jadi, sementara ada orang yang mempertikaikan hayat panjang serombong tinggi dan relau peleburan itu, saya mengesyaki mereka akan terus mengeluarkan asap untuk banyak lagi tahun akan datang.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.