Ceritalah - Isko Moreno: Jokowi Filipina?

Karim Raslan
November 5, 2019 06:03 MYT
Datuk Bandar yang sering digelar 'Yorme' oleh para penyokongnya menghabiskan hampir seluruh waktunya di luar pejabat untuk menghadiri program dan melakukan pemeriksaan. Carlo Gabuco / Pasukan Ceritalah
BELIAU dilahirkan di Tondo, Manila, salah satu kejiranan yang mempunyai penduduk paling miskin dan padat. Banyak masa mudanya dihabiskan dengan mencari 'pagpag', iaitu sisa makanan yang digoreng semula dari tempat pembuangan sampah.
Kini berusia 45 tahun, Francisco Moreno Damagosa, atau dikenali ramai sebagai Isko Moreno, adalah Datuk Bandar Manila.
Lonjakan dari budak jalanan kepada datuk bandar kelihatan seperti cerita dalam panggung wayang, malah, di situlah sebenarnya beliau bermula. Memandangkan ini adalah tentang Filipina, ceritanya tidak dapat lari dari politik.
Pada mulanya, Isko dikesan badan pencari bakat di Tandi. Ia disusuli dengan siri TV dan watak dalam filem. Selebihnya adalah sejarah.
Tetapi dia tak lupa dari mana dia datang dan pengajaran yang diperolehinya semasa dia membesar: "Saya membesar dengan penjenayah, dengan penagih dadah. Saya membesar di jalanan. Saya melalui hidup sukar sejak hari saya dilahirkan untuk saya memahami masyarakat kami hari ini... Tuhan ada banyak cara untuk mengajar kita... Anda telah lihat di mana saya tinggal, keadaannya sangat teruk ketika itu... Saya tidak tahu apa tujuan hidup saya dan saya fikir, 'Oh Tuhan, bilakah perkara ini akan berakhir?' Tetapi, kemudiannya, saya menjadi Datuk Bandar. Dan sekarang, saya tahu apa sebabnya."
Dan masyarakat di Tondo masih mengingatinya - dan menyukainya.
Gibo, seorang pekerja pelabuhan berusia 50 tahun, berkata beliau membesar dengan Isko di seksyen Moriones di Tondo. Dalam nada bergurau, dia berkata, beliau berada di situ ketika Isko berjaya menyandang jawatan itu. Seperti diceritakan Gibo kepada Pasukan Ceritalah, ketika keadaan masih belum bertambah baik di Moriones, 'Yorme' (slanga jalanan bagi Datuk Bandar) itu hanya perlu teruskan apa yang dilakukannya dan mengelak daripada menjadi 'ningas kugon' - iaitu, bermula kuat tetapi mengecewakan kemudiannya.
Laluan Isko menuju ke puncak kuasa telah dirancang dan ditentukan. Beliau membuat kejutan apabila menjadi ahli majlis paling muda Manila pada usia 23 tahun (1998-2007) dan naib datuk bandar pada usia 32 tahun (2007-2016), berkhidmat di bawah kedua-dua Alfredo Lim dan bekas presiden yang kemudiannya menjadi datuk bandar, Joseph "Erap" Estrada.
Sungguhpun usaha untuk menjadi ahli Senat pada 2016 dan jawatan-jawatan rendah dalam pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte gagal, beliau akhirnya kembali untuk mengalahkan Erap awal tahun ini. Ia merupakan kemenangan besar baginya, membuatkan dia memperoleh jolokan 'pembunuh raksasa'.
Sesungguhnya, setelah baru 100 hari memegang jawatan itu, Isko muncul sebagai suatu sensasi kecil dalam politik Filipina. Kemunculannya di alam media sosial - terutamanya Facebook - tidak dapat dikekang. Beliau setakat ini mengumpul 1.8 juta 'Likes' (dan semakin meningkat) serta membuat lebih 263 acara Facebook Live dalam jangka waktu itu: daripada mesyuarat rasmi kepada pemeriksaan mengejut, malah temu janjinya dengan doktor gigi.
Isko melihat kewujudan di alam maya sebagai sebahagian elemen penting dalam urus tadbirnya: "Saya membuat siaran secara langsung untuk menunjukkan kepada unit penguatkuasaan bahawa kerajaan perlu terus aktif walaupun ketika rakyat sedang tidur. Ia membuatkan mereka berasakan bahawa ada seseorang yang sentiasa menjaga keselamatan bandar raya ini... ia membuatkan pegawai-pegawai yang malas tidak boleh tidur malam... saya tidak akan berhenti."
Tetapi ia tidak bermakna Isko hanya menghabiskan masa membanjiri laman media rakyat. Beliau juga komited untuk memperbaharui Manila yang mempunyai penduduk 1.78 juta itu.
Banyak perkara yang perlu dilakukan. Sebahagian besar bandar raya itu sekarang diketahui berada dalam keadaan buruk.
Binonda dan Qulapo, dahulunya adalah jantung bagi pekan China Manila dan pusat kehidupan perniagaan kepulauan itu, kini sesak dengan lalu lintas dan bangunan tertutup. Dua kejiranan dari zaman sebelum perang, Ermita dan Malate, dahulunya kaya tetapi kini kotor dan buruk, menjadi tumpuan pelacuran dan pelancong yang terjebak dengan perkara negatif.
Isko - berkahwin dengan ahli perniagaan Diana Lynn Ditan dan mempunya lima anak - telah turun ke bawah. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang berpanjangan di Manila, beliau telah menghapuskan penjaja jalanan haram, terutamanya di daerah membeli-belah Divisoria, dengan memindahkan sebagaian mereka.
Beliau telah mengharamkan penjualan arak dalam lingkungan 200 meter daripada sekolah dan universiti serta dengan tegas menguatkuasakan perintah berkurung bagi kanak-kanak dari pukul 10 malam hingga 4 pagi.
Tambahan pula, beliau telah berikrar untuk mengatasi masalah malnutrisi kanak-kanak dengan menghidupkan semula program pemakanan tambahan Nutribun di sekolah rendah awam.
"Kami cuba menyediakan pendidikan, ruang hijau terbuka dan pembangunan perumahan vertikal. Kami juga cuba menangani lalu lintas, pelancongan dan perniagaan. Tetapi, perkara paling penting ialah orang. Apa yang patut didahulukan? Modal insan."
Isko juga telah memperoleh pujian kerana tindakannya memecat pegawai yang tidak menjalankan tugas dengan baik. Seperti yang dimaklumkan kepada Pasukan Ceritalah: "Saya telah menggugurkan sembilan pegawai polis dalam masa tiga minggu (penggal saya) kerana mereka tidak membuat kerja mereka. Sebab itu orang bimbang terhadap keselamatan saya. Jadi, kenapa? Itulah yang kita namakan bahaya pekerjaan. Ia sebahagian daripada kerja."
Bagaimanapun, tidak seperti Duterte yang sentiasa lebih agresif, Isko tidak gemar dengan kaedah ekstrem. Sepertimana dijelaskannya: "Banyak penjenayah berkaitan kesalahan dadah telah ditangkap hidup-hidup... saya hormati hak asasi manusia dan pematuhan undang-undang. Kami tegas dalam melaksanakan kerja. Saya mesti memastikan unit penguatkuasaan tidak menyalah guna kuasa mereka dalam menangkap penjenayah."
Keterujaan terhadap Datuk Bandar telah merebak. Ia malah telah melibatkan kumpulan elit perniagaan republik itu, sesetengahnya - seperti Tessy Sy dari gergasi peruncitan SM hingga ke Fernando Zobel dari Ayala Corporation - telah sampai ke Manila.
Malah terdapat cakap-cakap bahawa pilihan raya presiden pasti berlaku pada 2022 dan Isko dijangka menjadi pengimbang kepada jentera politik Duterte yang seolah-olah tidak dapat dikekang.
Malah, menarik untuk diperhatikan persamaan antara kebangkitan Isko bukan saja dengan Duterte, tetapi juga bekas datuk bandar terkenal di Asia Tenggara iaitu Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi).
Kesemua tiga tokoh itu datang dari luar elit politik nasional dan pentadbiran mereka dikenali dengan pendekatan yang berpusat pada rakyat.
Sambil kami tidak berkesempatan berbincang mengenai cita-cita kepresidennya, Isko ada menyebut bahawa beliau mengkagumi komitmen Jokowi dalam mempertahankan kedaulatan Indonesia apabila berdepan dengan China, dengan menyatakan: "Itulah caranya kamu mempertahankan negara kamu."
Maka, kelihatannya Datuk Bandar Manila ini mengikut laluan yang seringkali diambil untuk sampai ke puncak kekuasaan. Orang yang sinis akan berkata, semuanya telah dilakukan sebelum ini.
Seperti Duterte, beliau tegas dan tetap pendirian. Bagaimanapun, apa yang membezakan Isko dengan penjawat sebelumnya dan juga keseluruhan elit Filipina adalah rasa belasnya, sifat berakar umbinya dan keinginan tulennya memartabatkan maruah rakyatnya.
Tidak kira apa yang akan berlaku pada masa depan, itulah yang akan menghasilkan perbezaan.

* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Ceritalah #Datuk Bandar #Filipina #Francisco Moreno Damagosa #Indonesia #Isko Moreno #Joko Widodo #Karim Raslan #kerajaan #Manila #politik #Rodrigo Duterte