DUNIA

China dakwa 21 dalang utama kumpulan jenayah penipuan telekomunikasi di utara Myanmar

Bernama 11/07/2025 | 11:50 MYT
Antara mangsa penipuan pekerjaan di utara Myanmar yang diselamatkan pihak berkuasa dalam operasi pada awal 2025. - Gambar fail/ Reuters
GUANGZHOU: China telah mendakwa 21 anggota utama sindiket penipuan telekomunikasi yang beroperasi di utara Myanmar atas pelbagai pertuduhan, termasuk penipuan, operasi kasino haram, pembunuhan, penghasilan dadah dan kesalahan lain, mengikut undang-undang China, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • China mendakwa 21 anggota utama sindiket penipuan telekom yang beroperasi di utara Myanmar atas pelbagai kesalahan termasuk penipuan, pembunuhan, penghasilan dadah dan operasi kasino haram, melibatkan kerugian melebihi 10.6 bilion yuan.
  • Kumpulan jenayah yang diketuai Bay Saw Chain membina lebih 41 kompleks haram sejak 2015 untuk menjalankan aktiviti penipuan dan perjudian, menggunakan kekerasan bersenjata serta menyasarkan rakyat China sebagai mangsa utama.
  • Melalui kerjasama keselamatan China-Myanmar, seramai 36 suspek utama telah ditahan dan lebih 57,000 warga China yang terlibat dalam penipuan telekom telah ditangkap, hasil operasi bersama dan siasatan intensif oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.


Kumpulan itu didakwa menyasarkan rakyat China sebagai mangsa utama.

Menurut pihak berkuasa keselamatan awam China, kumpulan jenayah itu disyaki terlibat dalam kegiatan yang mengakibatkan kematian enam rakyat China dan dikaitkan dengan lebih 31,000 kes penipuan telekom dengan jumlah wang penipuan melebihi 10.6 bilion yuan (kira-kira US$1.48 bilion).

Kumpulan itu juga didapati terlibat dalam pengeluaran dan pengedaran kira-kira 11 tan dadah.

Sejak 2015, kumpulan jenayah yang diketuai Bay Saw Chain telah membina lebih 41 kompleks berskala besar di utara Myanmar untuk menjalankan operasi penipuan telekom dan perjudian dalam talian secara haram, menurut Kementerian Keselamatan Awam (MPS) China.

Pusat penipuan itu telah digunakan untuk menjalankan aktiviti haram secara agresif dengan menyasarkan rakyat China serta memperdaya individu dari China untuk menyeberangi sempadan secara haram bagi terlibat dalam perjudian dan skim penipuan.

Siasatan selanjutnya mendedahkan kumpulan jenayah itu mengawal pusat-pusat itu menggunakan kekuatan bersenjata dan membenarkan penggunaan taktik kekerasan dalam penguatkuasaan.

Pada Januari 2024, di bawah mekanisme kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang China-Myanmar, pihak berkuasa Myanmar telah menyerahkan Bay Saw Chain dan Bay Yin Chin kepada pihak berkuasa China. Setakat ini, seramai 36 suspek utama yang terlibat dalam kes itu telah ditahan.

Sepanjang siasatan, polis China telah menghantar pasukan petugas ke utara Myanmar sebanyak lima kali untuk mengumpul bukti penting dengan sokongan pihak berkuasa Myanmar. Di dalam negara, lebih 1,000 pegawai polis China telah digerakkan di seluruh negara untuk mengumpul keterangan dan bukti daripada mangsa penipuan.

Menerusi usaha penguatkuasaan undang-undang bersama dan beberapa operasi bersasar, polis China dan Myanmar telah menangkap lebih 57,000 warga China yang disyaki terlibat dalam skim penipuan telekom, sekali gus memberi tamparan hebat kepada kumpulan penjenayah utama yang beroperasi di utara Myanmar.

-- BERNAMA



#sindiket penipuan #China #Myanmar #dalang utama