KUALA LUMPUR : Rantau Asia Timur merangkumi China, Jepun, Korea Selatan, Korea Utara dan beberapa negara-negara lain disifatkan sebagai salah sebuah kawasan 'hotspot' konflik yang paling berisiko di dunia memandangkan wujudnya pertelingkahan China-Taiwan, China-Jepun dan Korea Selatan-Korea Utara.

Namun, apa yang penting, menurut Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Univesiti Malaysia Sabah, Prof Dr Lai Yew Meng, keamanan di Asia Tenggara secara amnya dan Malaysia secara khususnya terikat secara langsung kepada kestabilan dan keamanan rantau Asia Timur.

Jelasnya, ini kerana kedua-dua rantai ini terletak di benua yang sama iaitu benua Asia yang menghubungkan kawasan perairan dan bertindak sebagai jambatan kepada negara-negara persisir dan negara-negara kepulauan rantau tersebut.

“Rantau Asia Timur dan Asia Tenggara cenderung dipengaruhi oleh kepentingan dan dinamika geopolitik dan geoekonomi yang agak sama akibat dari darjah kesalinghubungan dan kebergantungan yang tinggi diantara kedua-dua rantau tersebut.

“Misalnya sebarang konflik yang berlaku di Asia Timur contohnya di Selat Taiwan atau semenanjung Korea semua berkemampuan menjejaskan kelangsungan dan kesejahteraan ekonomi di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

“Ini kerana laut yang dikongsi bersama termasuk Laut Jepun, Laut China Selatan dan Laut China Timur yang menjadi jalur perhubungan laut demi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan ekonomi kedua-dua rantau ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi yang membincangkan topik “China di Asia Timur: Lubuk Konflik Seterusnya?” pada Rabu.

Justeru jelasnya, kepentingan geopolitik dan ekonomi akan mempengaruhi kelangsungan dan kesejahteraan kedua-dua rantau itu.

Ikuti diskusi penuh di sini; 

AWANI Pagi: China di Asia Timur | Lubuk Konflik Seterusnya?