Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
DUNIA

China dijangka akan capai lebih daripada matlamat iklim baharu 2035

Bernama 27/10/2025 | 09:10 MYT
Andersen menyatakan bahawa beliau amat gembira melihat China telah mencapai kemajuan besar dalam mendorong pembangunan tenaga boleh baharu. - Gambar fail
BEIJING: Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Inger Andersen menyatakan bahawa beliau amat gembira melihat China telah mencapai kemajuan besar dalam mendorong pembangunan tenaga boleh baharu (TBB).

Beliau berkata China menambah kapasiti sebanyak 200 hingga 300 juta kilowatt setiap tahun dalam menjana kuasa elektrik dengan tenaga angin dan suria, menunjukkan ambisinya dalam memperjuangkan matlamat untuk menjadikan TBB mewakili 60 peratus keseluruhan kapasiti penjanaan kuasa elektrik dalam negara, dan sememangnya sudah mencapai kemajuan ketara dalam bidang yang substantif.

"Selain itu, semasa Sidang Kemuncak Perubahan Iklim PBB pada September tahun ini, kami juga menyaksikan kelahiran sasaran baharu China yang diumumkan Presiden Xi Jinping secara maya, iaitu menurunkan jumlah pelepasan gas rumah hijau dalam operasi ekonomi nasional kepada tujuh hingga 10 peratus malah lebih berbanding dengan puncaknya menjelang 2035.

Hakikatnya, prestasi China sebelum ini selalu lebih baik daripada jangkaan, dan kali ini China juga berkemungkinan akan mencapai lebih dari sasaran yang ditetapkan," kata Andersen ketika ditemu bual Kumpulan Media China (CMG) di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang makna yang paling menonjol tentang konsep "gunung hijau dan air jernih bagaikan gunung emas dan gunung perak" yang bertujuan menggalakkan pembinaan peradaban ekologi dan transformasi hijau, Andersen menganggap bahawa perkataan ini merupakan satu naratif yang puitis tentang satu konsep yang kompleks dan mendalam. "Dua gunung" dirujuk kepada "gunung hijau yang ekologinya baik" dan "gunung kekayaan" yang bersinar keemasan.

"Kini kami menyaksikan konsep 'Dua Gunung' dilaksanakan dengan tepat di seluruh China, dan membawa manfaat yang ketara kepada rakyat, misalnya sektor pertanian berkembang ke arah yang kondusif dan produktif, sungai menjadi lebih jernih dan udara lebih bersih, serta sektor industri juga berkembang ke arah yang lebih bersih, pintar dan mekanikal.

"Boleh dikatakan, saya sangat bertuah kerana dalam satu tempoh yang agak panjang, sering berpeluang mengunjungi China serta menyaksikan dengan mata sendiri tentang perkembangan pesat di negara ini selama hampir 20 tahun terutamanya transformasi cepat dalam sedekad terakhir," kata Andersen.

"Pada mesyuarat tahunan Jawatankuasa Kerjasama Antarabangsa China mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan, saya berbesar hati apabila mengetahui tentang pelan tindakan yang terkandung dalam Rancangan Lima Tahun ke-15 yang akan dilancarkan pada tahun 2026. China sedang membuka satu lembaran baharu yang sangat memberangsangkan," kata beliau.

- BERNAMA-CMG




#pembangunan tenaga boleh baharu #PBB #China #Inger Andersen