Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
DUNIA

China gesa ASEAN tumpu sektor pembuatan bagi tingkat daya saing di peringkat global

Bernama 15/11/2025 | 20:00 MYT
Negara-negara ASEAN perlu memberi lebih perhatian kepada industri pembuatan bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran global.
BEIJING: Negara-negara ASEAN perlu memberi lebih perhatian kepada industri pembuatan bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran global, kata Pengarah Seksyen Penyelidikan dan Pengajaran Ekonomi Perindustrian China, Xu Jie.


Ringkasan AI
  • Negara-negara ASEAN perlu memberi lebih perhatian kepada industri pembuatan bagi meningkatkan daya saing global - Pengarah Seksyen Penyelidikan China, Xu Jie.
  • China menekankan inovasi teknologi sebagai pendorong pembangunan ekonomi dengan fokus kepada kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
  • Pelaksanaan inovasi sains dan teknologi dalam ASEAN memerlukan kerjasama kerajaan, industri, dan perusahaan untuk memupuk bakat serta memajukan sektor pembuatan.


Xu yang juga Profesor di Jabatan Ekonomi Sekolah Pusat Parti CPC (Akademi Tadbir Urus China) berkata pembinaan sektor pembuatan yang komprehensif dan kukuh akan menyediakan lebih banyak sumber bukan sahaja untuk meningkatkan mata pencarian orang ramai tetapi juga melabur dalam sains dan teknologi serta menaik taraf industri tradisional.

"Apabila negara kita menjadi kaya, kita akan mempunyai lebih banyak dana untuk melabur dalam inovasi teknologi dan mewujudkan kitaran pembangunan yang positif.

"Saya percaya ia merupakan asas bagi pembangunan ekonomi dan sosial," kata Xu pada seminarnya yang bertajuk 'Mempercepatkan Kemandirian Sains-Teknologi dan Pengukuhan Diri pada Peringkat yang Lebih Tinggi'.

Berkongsi mengenai kemajuan China dalam inovasi kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Xu berkata negara itu telah menubuhkan makmal kebangsaan yang dikhaskan untuk penyelidikan AI.

"Kami sedang mengumpulkan saintis terbaik dan membuat pelaburan yang besar ke dalam penyelidikan asas AI.

"Kami juga sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat supaya penyelidikan mereka dapat dipindahkan dengan segera dan diubah menjadi perkhidmatan serta produk sebenar," katanya.

Beliau berkata apabila China mula melaksanakan pembaharuannya pada 1978, inovasi teknologinya menjadi pendorong kepada pembangunan ekonomi.

"Menerusi teknologi, kami membina dan memperkukuhkan industri pembuatan kita.

"Sekiranya, saya ingin menawarkan nasihat kepada negara-negara ASEAN, saya secara peribadi percaya bahawa pembuatan adalah sangat penting," katanya.

Menurut Xu, pelaksanaan inovasi sains dan teknologi dalam ASEAN memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan perusahaan.

"Kami memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing. Kerajaan perlu menyokong penyelidikan asas dan melabur di universiti bagi memupuk bakat.

"Dengan menyediakan lebih banyak sokong kewangan kepada universiti, mereka boleh mengeluarkan lebih banyak pakar sains dan teknologi.

"Perusahaan, yang berada secara langsung dalam pasaran, mengetahui mengenai teknologi dan produk yang mendapat permintaan," katanya.

Xu juga menyatakan bahawa saintis yang bekerja di universiti dan institut penyelidikan kini dikehendaki menyumbang kembali sebahagian besar keuntungan kewangan daripada penyelidikan mereka kepada institusi masing-masing.

Sementara itu, seramai 25 delegasi terdiri daripada pegawai, penyelidik dan wakil media dari enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Myanmar, Indonesia dan Brunei kini sedang dalam rangka lawatan ke China bermula 12-19 Nov, 2025.

-- BERNAMA





#China #ASEAN #industri pembuatan #pasaran global #teknologi