China mengiktiraf Malaysia sebagai Negara Kehormat di acara Pameran Pelaburan dan Perdagangan Lanzhou China (CLITF) ke-23 yang bermula hari ini sehingga 9 Julai, 2017.

Anggota Jawatankuasa Bertindak Parti Komunis China di Wilayah Gansu merangkap Naib Gabenornya, Song Liang berkata pemilihan Malaysia pada edisi tahun ini adalah susulan sokongan padu Kuala Lumpur terhadap Inisiatif Belt and Road (BRI) yang dicetuskan oleh Presiden China, Xi Jinping pada 2013.

BRI merupakan strategi pembangunan yang menumpukan aspek kesalinghubungan dan kerjasama pelbagai negara selain mempertingkatkan aspek dagangan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti pelabuhan, landasan kereta api dan lebuh raya.

"BRI menyediakan platform penting serta peluang perniagaan tanpa batasan antara wilayah Gansu dan Malaysia.

"Saya amat berharap kita dapat mengukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia, sekali gus mencapai matlamat demi kepentingan bersama pada masa depan," katanya berucap pada Persidangan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Malaysia-China (Gansu) di luar program CLITF di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Ir Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud serta Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Dr Lim Weng Soon.

Lanzhou adalah bandar industri berpenduduk tiga juta orang dan merupakan ibu kota wilayah Gansu ke timur laut China dan terletak kira-kira 1,505 kilometer ke barat daya Beijing.

Sementara itu, Ong dalam ucapannya menekankan kepentingan BRI yang disifatkan beliau mampu meningkatkan kesalinghubungan antara negara-negara terbabit.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan halal negara ini, berkata BRI juga dijangka dapat mewujudkan peluang besar menerusi jalinan kerjasama, kepentingan dan matlamat bersama.

"Sehubungan itu, masa depan perdabangan antara Malaysia dan Wilayah Gansu ini amat cerah kerana kedua-dua negara berkenaan adalah peserta inisiatif itu," katanya.

Malah, kata Ong, Malaysia turut melihat Gansu sebagai jambatan yang menghubungkan negara ini dengan wilayah-wilayah lain di China.

Seramai 90 wakil daripada 31 syarikat dan pelbagai agensi kerajaan Malaysia mengambil bahagian dalam CLITF yang berlangsung selama empat hari.

Terdahulu, Ong melancarkan Pavilion Malaysia yang dibina bagi menghargai Malaysia sebagai negara hos di CLITF yang memaparkan serta mempromosikan sektor halal Malaysia termasuk dalam bentuk makanan dan minuman serta pelancongan penjagaan kesihatan.

Bertemakan 'Bersama Melonjakkan Inisiatif BRI Bagi Kejayaan Kerjasama Bersama,' edisi penganjuran tahun ini mengetengahkan pelaksanaan BRI berkenaan.

CLITF yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Gansu di sini, disertai delegasi mewakili 10 kementerian di peringkat pusat, bandar dan daerah daripada 25 wilayah China, 32 wakil kerajaan asing dan 4,000 syarikat dari serata dunia.

Sejak pelancarannya pada 1993, CLITF telah berkembang pesat sebagai platform bagi pertukaran ekonomi dan perdagangan yang penting untuk negara-negara peserta BRI selain membantu mempromosikan industri-industri baharu secara strategik.

-- BERNAMA