Skip to main content
Advertisement

Dunia

China, Jerman perlu berganding bahu pertahan perdagangan bebas - Wang Yi

Chinese Foreign Minister Wang Yi speaks with the media at the U.N. headquarters in New York City, U.S., May 26, 2026. REUTERS/Shannon Stapleton/File Photo
Wang berkata China dan Jerman perlu menghantar isyarat positif kepada dunia bahawa kedua-dua negara akan bersama-sama mendukung multilateralisme dan perdagangan bebas. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

BEIJING:

Menteri Luar China Wang Yi pada Isnin berkata China dan Jerman perlu terus memperkukuh kerjasama saling menguntungkan kerana langkah itu selaras dengan kepentingan kedua-dua negara serta merupakan pilihan yang bijak dan tepat.

Dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Jerman Johann Wadephul, Wang berkata China dan Jerman perlu menghantar isyarat positif kepada dunia bahawa kedua-dua negara akan bersama-sama mendukung multilateralisme dan perdagangan bebas.

Beliau berkata kedua-dua negara juga perlu meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap perkembangan hubungan China-Jerman serta memainkan peranan membina dalam memajukan hubungan China-Kesatuan Eropah (EU).

“Sebagai dua ekonomi utama dunia dan rakan kongsi strategik komprehensif, China dan Jerman perlu meningkatkan komunikasi strategik, memperkukuh rasa saling percaya serta mempergiat kerjasama praktikal.

“Kedua-dua negara juga perlu menghargai kemajuan yang telah dicapai, memperluas dan memperkukuh kerjasama China-Jerman serta menghasilkan lebih banyak pencapaian,” kata Wang.

Beliau turut menegaskan bahawa China dan EU, sebagai rakan kongsi strategik komprehensif, tidak seharusnya terlibat dalam perang perdagangan.

“China berharap Jerman dapat mengekalkan pendekatan rasional dan pragmatik serta memainkan peranan membina dalam EU bagi menggalakkan blok itu mempertahankan perdagangan bebas, menolak dasar perlindungan dan terus mendukung keterbukaan, kerjasama, dialog serta persefahaman,” kata beliau.

Sementara itu, Wadephul berkata hubungan Jerman-China berkembang secara stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Kami berharap dapat memperkukuh kerjasama dengan China dalam bidang ekonomi dan perdagangan, di samping meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi.

“Jerman menyokong usaha EU dan China menyelesaikan perbezaan menerusi dialog serta bersedia memainkan peranan positif dalam perkara itu,” kata beliau.

-- BERNAMA-CMG

 

Must Watch Video

Advertisement