BEIJING: China kecam Pakatan Keselamatan Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang diumumkan Presiden Joe Biden.

Beijing melihat pakatan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berfikiran sempit.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian berkata, pakatan yang dikenali sebagai AUKUS itu berpotensi mengancam keamanan serantau.

"Kerjasama AS, UK dan Australia dalam penghasilan kapal selam nuklear ini menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau, meningkatkan perlumbaan penghasilan senjata, dan menjejaskan usaha antarabangsa dalam hal kawalan senjata nuklear.

"Tindakan AS dan UK mengeksport teknologi tinggi nuklear sub marin sekali lagi membuktikan mereka menggunakan isu ini sebagai permainan geopolitik dan mengamalkan dasar berbeza. Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab," katanya.

Pakatan itu diumpamakan sebagai permulaan perang dingin.

China dalam pada itu memberi amaran kepada tiga negara terbabit supaya jangan hanya ambil tahu kepentingan soal keselamatan masing-masing.

Pakatan kerjasama diumum Biden, Perdana Menteri UK, Boris Johnson dan Perdana Menteri Australia Scott Morrison, menerusi satu sidang media maya pada Khamis.

BACA: AS, UK, Australia gabung kemampuan keselamatan

Perjanjian itu bakal menyaksikan AS dan UK berkongsi teknologi pertahanan menghasilkan kapal selam nuklear dengan Australia.

Ia juga dilihat usaha mengimbangi pengaruh China yang semakin meningkat di Laut China Selatan.