[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
INTERNATIONAL

China kecam langkah AS sekat cip China, sifatkan ia 'pembulian unilateral'

Bernama 21/05/2025 | 15:19 MYT
Jabatan Perdagangan AS baru-baru ini cuba mengenakan larangan global terhadap cip komputer canggih China, termasuk cip Huawei Ascend tertentu. - Adobe Stock
BEIJING: Kementerian Perdagangan China pada Rabu mengecam usaha Amerika Syarikat (AS) untuk menyekat perdagangan cip komputer buatan China di peringkat global sebagai tindakan "pembulian unilateral dan dasar perlindungan perdagangan" yang serius sehingga menjejaskan rantaian industri dan bekalan semikonduktor global, lapor Xinhua.

Jurucakap kementerian itu berkata Jabatan Perdagangan AS baru-baru ini mengeluarkan panduan atas alasan melanggar peraturan kawalan eksport AS, cuba mengenakan larangan global terhadap cip komputer canggih China, termasuk cip Huawei Ascend tertentu.

Tindakan AS ini menafikan hak negara lain untuk membangunkan cip komputer canggih dan industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

Jurucakap itu berkata Amerika Syarikat menyalahgunakan kawalan eksport untuk mengekang dan menindas China, yang bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa dan norma asas hubungan antarabangsa, tetapi juga menjejaskan hak dan kepentingan sah syarikat China serta mengekang kepentingan pembangunan negara itu.

China percaya langkah AS ini sebagai sekatan diskriminasi yang menyasarkan syarikat China, kata jurucakap itu lagi.

Mana-mana organisasi atau individu yang melaksanakan atau membantu pelaksanaan langkah itu boleh melanggar undang-undang dan peraturan China serta berisiko untuk dikenakan tindakan undang-undang, tegas jurucakap itu.

Pembangunan berasaskan inovasi dan kerjasama yang saling menguntungkan merupakan trend global semasa, katanya, sambil menggesa AS agar segera membetulkan kesilapannya, mematuhi peraturan ekonomi dan perdagangan antarabangsa, serta menghormati hak negara lain untuk pembangunan saintifik dan teknologi secara sah.

China menyokong perusahaan global untuk menjalankan kerjasama sains dan teknologi berasaskan prinsip pasaran demi mencapai hasil menang-menang dan memajukan inovasi demi manfaat semua pihak, kata jurucakap itu.

China akan memantau dengan teliti perkembangan langkah AS ini dan akan mengambil tindakan tegas untuk mempertahankan hak dan kepentingannya yang sah, katanya.

-- BERNAMA

#China #Amerika Syarikat #perdagangan #sekat cip #huawei ascend #peraturan ekonomi