[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
INTERNATIONAL

China keluarkan dua amaran perjalanan ke AS kepada warganya

Agensi 09/04/2025 | 15:57 MYT
Amaran itu dikeluarkan susulan kemerosotan hubungan bilateral antara China dan Amerika Syarikat - Foto/Adobe Stock
PEMERINTAH China pada Rabu mengeluarkan dua kenyataan rasmi yang mengandungi amaran perjalanan kepada warganya berhubung lawatan ke Amerika Syarikat (AS).
Menurut media antarabangsa, amaran itu dikeluarkan susulan kemerosotan hubungan bilateral kedua-dua negara.
Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan dalam kenyataan menyebut, kemerosotan hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dan AS, serta situasi keselamatan domestik di AS menimbulkan kebimbangan.
Justeru, warga republik itu digesa menilai sepenuhnya risiko perjalanan ke AS dan mengambil langkah berjaga-jaga semasa melancong.
Kementerian Pendidikan China pula mengeluarkan kenyataan berasingan yang merujuk kepada satu rang undang-undang yang sedang dibahaskan di badan perundangan negeri Ohio.
Rang undang-undang itu mengandungi peruntukan negatif berkaitan China dan turut mengenakan sekatan terhadap pertukaran serta kerjasama pendidikan antara beberapa universiti China dan AS.
Tegas kementerian, semua pelajar China di luar negara perlu menjalankan penilaian risiko keselamatan sebelum membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di negeri-negeri AS yang terlibat dalam masa terdekat.
#Amerika Syarikat #China keluar amaran perjalanan #Tarif Donald Trump