BEIJING: Presiden China Xi Jinping telah mengadakan lawatan empat hari ke provinsi Guangdong di selatan China bermula 10 hingga 13 April.

Beliau meluangkan masa melawat kawasan perusahaan, pelabuhan dan kawasan luar bandar di bandar Zhanjiang, Maoming dan Guangzhou.

Pada hari pertama Presiden Xi melawat pangkalan benih marikultur di bawah "Skim 863" yang terletak di Pulau Donghai, bandar Zhanjiang.

Xi berkata China ialah negara besar yang mempunyai populasi lebih daripada 1.4 bilion, jadi adalah mustahak untuk menjamin keselamatan makanan dan memanfaatkan sumber darat dan laut.

Beliau menegaskan bahawa industri benih adalah asas kepada pembangunan pertanian dan perikanan moden.

"China perlu memperkasakan pembangunan peralatan akuakultur laut dalam dan perikanan cerdas, serta menggalakkan transformasi dan penaiktarafan industri perikanan laut ke arah maklumat, cerdas dan moden," katanya.

Sepanjang lawatan itu juga, Xi sering menyentuh mengenai Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau.

Ketika mengunjungi Pelabuhan Xuwen di bandar Zhanjiang, beliau berkata pelabuhan itu harus muncul menjadi hab pengangkutan air dan darat bersepadu yang moden dengan menghubungkan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao dengan Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan.

Kemudian Xi melawat pangkalan pembuatan LG Display di Guangzhou dan dalam ucapannya beliau mempelawa pelabur dari luar negara untuk mengunjungi China, Guangdong dan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau.

Beliau berkata dasar pembaharuan dan pintu terbuka China tidak akan berubah, China tidak akan menutup pintu yang dibuka oleh dirinya.

"Semua negara yang bersedia untuk bekerjasama dengan kami (China) untuk situasi sama menang, kami bersedia untuk sehaluan dengan mereka, mendorong kemakmuran dan pembangunan bersama ekonomi dunia," kata Xi.

-- BERNAMA