Skip to main content
Advertisement

Dunia

China pantau risiko banjir selepas tanah runtuh bentuk tasik empangan kedua di Tibet

A Chinese rescue worker walks near a barrier lake formed following a mudslide, seen from the Chinese side near the border with Nepal, in Gyirong county, Shigatse, Tibet Autonomous Region, China August 28, 2026. cnsphoto via REUTERS
Runtuhan tebing gunung itu menyebabkan sejumlah besar batu dan tanah menyekat aliran sungai lalu membentuk takungan air baharu. -Gambar Reuters
Advertisement

BEIJING: Sebuah tasik empangan semula jadi baharu dikesan terbentuk di Wilayah Autonomi Tibet susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan hilir sungai, lapor media rasmi China.

Stesen televisyen negara itu, CCTV, melaporkan tanah runtuh berkenaan dikesan menerusi dron pemantauan yang digunakan pasukan respons kecemasan pada Sabtu malam.

Runtuhan tebing gunung itu menyebabkan sejumlah besar batu dan tanah menyekat aliran sungai lalu membentuk takungan air baharu.

Menurut Kementerian Pengurusan Kecemasan China, kejadian itu berlaku kira-kira 2.8 kilometer di hilir tasik empangan yang sedia ada di sepanjang Sungai Purepu Tsangpo.

Susulan perkembangan tersebut, kementerian berkenaan mengumpulkan pakar bagi menilai tahap risiko, selain meneruskan pemantauan menggunakan dron di kawasan terbabit.

Semua petugas penyelamat yang beroperasi berhampiran Pelabuhan Gyirong turut dipindahkan ke lokasi selamat sebagai langkah berjaga-jaga.

Tasik empangan kedua itu terbentuk selepas runtuhan tanah menyekat aliran sungai di kawasan yang sebelum ini telah terjejas akibat aliran lumpur dan runtuhan glasier di sempadan China-Nepal.

Pihak berkuasa China kini memantau paras air serta keadaan geologi secara berterusan dan menempatkan pasukan pemantau di lokasi berisiko bagi membolehkan amaran awal dikeluarkan sekiranya berlaku perubahan yang boleh mengancam keselamatan penduduk serta operasi menyelamat.

Must Watch Video

Advertisement