DUNIA

China percepat pelaksanaan Protokol Naik Taraf FTA China-ASEAN 3.0

Bernama 14/11/2025 | 00:20 MYT
He (gambar) berkata, diharapkan syarikat dari China dan ASEAN dapat dibimbing untuk memahami, menguasai dan memanfaatkan sepenuhnya peraturan serta peluang baharu dalam FTA China-ASEAN. - Gambar fail/REUTERS
BEIJING: Kementerian Perdagangan (MOC) China sedang mempercepatkan proses ratifikasi domestik bagi Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (FTA) 3.0 dan bekerjasama dengan ASEAN untuk menggalakkan pelaksanaannya lebih awal, lapor Xinhua.

Jurucakap kementerian, He Yadong, berkata dalam sidang media berkala bahawa pemeteraian protokol itu merupakan satu pencapaian penting dalam kerjasama antara kedua-dua pihak.

Ia menandakan proses integrasi ekonomi antara kedua-dua pihak telah berkembang daripada bidang tradisional seperti liberalisasi dan pemudahan perdagangan serta pelaburan kepada bidang baharu seperti pendigitalan, pembangunan hijau, piawaian serta rantaian pengeluaran dan bekalan.

Protokol naik taraf 3.0 itu akan menggalakkan pemerkasaan teknologi digital serantau, kerjasama industri hijau, keterhubungan rantaian pengeluaran dan bekalan serta penyelarasan piawaian dan peraturan, sekali gus mempercepat integrasi dan pembangunan pasaran serta rantaian bekalan berskala besar di rantau ini, kata He.

Syarikat dari China dan ASEAN menyedari peluang perniagaan besar yang ditawarkan melalui protokol tersebut, kata jurucakap itu.

Beliau menambah bahawa diharapkan syarikat berkenaan dapat dibimbing untuk memahami, menguasai dan memanfaatkan sepenuhnya peraturan serta peluang baharu dalam FTA China-ASEAN, agar mereka benar-benar mendapat manfaat daripadanya.

Protokol itu ditandatangani pada 28 Okt di Kuala Lumpur, Malaysia, menjelang Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-28.

-- BERNAMA

#He Yadong #FTA China-ASEAN #Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN #ratifikasi domestik