DUNIA
China rasmi jambatan tertinggi di dunia, perjalanan dua jam kini hanya dua minit

China merasmikan jambatan tertinggi di dunia bernama Huajiang Grand Canyon Bridge. Foto Agensi
GUIZHOU: China sekali lagi mencatat sejarah apabila merasmikan jambatan tertinggi di dunia, Huajiang Grand Canyon Bridge yang terletak di wilayah pergunungan Guizhou, Selatan China.
Jambatan megastruktur itu dibina setinggi 625 meter di atas sungai sekali gus mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang oleh Jambatan Beipanjiang dengan ketinggian 565 meter.
Menurut laporan agensi berita kerajaan, jambatan ini merupakan kemuncak kepada projek kejuruteraan awam yang mengambil masa lebih daripada tiga tahun untuk disiapkan.
Rakaman dron yang dikongsikan menunjukkan kenderaan mula melintasi jambatan dengan menara sokongan berwarna biru yang sebahagiannya diselubungi awan.Majlis perasmian turut disaksikan oleh penduduk tempatan, jurutera projek dan pegawai kerajaan.
Ketua Jabatan Pengangkutan Wilayah Guizhou berkata, pembinaan jambatan itu mampu mengurangkan masa perjalanan iaitu dari dua jam kepada hanya dua minit.
Beliau turut menambah bahawa pembukaan jambatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap pencapaian pengangkutan di kawasan itu, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial setempat.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, China giat membina pelbagai infrastruktur berskala besar sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kadar urbanisasi yang pesat.
Guizhou kini digelar sebagai 'provinsi jambatan' kerana mempunyai ribuan jambatan, termasuk dua yang tertinggi di dunia.
Menurut laporan Xinhua, hampir 50 daripada 100 jambatan tertinggi di dunia terletak di wilayah ini. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami