China semak semula angka kematian, catat peningkatan hampir 40 peratus

Astro Awani
April 17, 2020 05:09 MYT
China menyemak semula angka kematian akibat koronavirus di negara itu yang menyaksikan peningkatan sebanyak 39 peratus daripada jumlah asal yang dilaporkan sebelum ini. -Gambar fail/Reuters
China menyemak semula angka kematian akibat koronavirus di negara itu yang menyaksikan peningkatan sebanyak 39 peratus daripada jumlah asal yang dilaporkan sebelum ini.
Sejumlah 1,290 kematian di Wuhan, lokasi di mana koronavirus itu dikesan Disember tahun lalu, ditambah menjadikan jumlah semasa 4,636, lapor Bloomberg yang memetik media tempatan, pada Jumaat.
Kelewatan laporan itu dikaitkan dengan beberapa sebab, antaranya pesakit meninggal dunia di rumah, pesakit tidak diuji di hospital, serta laporan perubatan tidak lengkap pada ketika kemuncak penularan wabak tersebut.
China dikritik hebat, terutamanya daripada Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan menyembunyikan tahap penularan wabak dan salah lapor jumlah kes dan kematian.
Ia bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dan menyatakan negara itu sentiasa telus dalam melaporkan maklumat.
Walaupun angka yang disemak tinggi, namun jumlah kematian rasmi di China masih rendah berbanding AS, di mana angka korban meningkat ke paras lebih 30,000.
#China semak angka kematian #COVID-19 #kematian di Wuhan #koronavirus #semakan semula #sembunyi maklumat