[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

China serah bantuan kemanusiaan untuk mangsa gempa bumi Afghanistan

Bernama 08/09/2025 | 09:14 MYT
Gempa bumi dahsyat yang melanda beberapa provinsi terutama Akunor mengorbankan banyak nyawa, ribuan cedera dan memusnahkan harta benda. - Reuters
KABUL: Kumpulan pertama bantuan kemanusiaan kecemasan kerajaan China untuk mangsa gempa bumi di Afghanistan tiba pada Ahad.

Upacara penyerahan disempurnakan dengan kehadiran kuasa usaha sementara Kedutaan Besar China Bao Xuhui, Timbalan Menteri Pembangunan dan Kebangkitan Desa Afghanistan Mawlawi Sharafudin Muslim serta wakil-wakil dari Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengurusan Bencana dan Bulan Sabit Merah Afghanistan.

Bao menyatakan bahawa gempa bumi dahsyat yang melanda beberapa provinsi terutama Akunor mengorbankan banyak nyawa, ribuan cedera dan memusnahkan harta benda.

Bagi meringan penderitaan mangsa, kerajaan China segera meluluskan bantuan kemanusiaan kecemasan bernilai RMB50 juta (RM30 juta) kepada Afghanistan, yang mencerminkan hubungan persahabatan erat antara kedua-dua negara.

Menurut Bao, bantuan kumpulan pertama termasuk khemah dan selimut, manakala bantuan selanjutnya akan tiba dalam beberapa hari akan datang.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa di bawah pimpinan kerajaan Afghanistan, penduduk kawasan terjejas akan mampu bangkit semula dan membina semula kediaman mereka.

Sementara itu, Mawlawi Sharafudin Muslim berkata bahawa selepas bencana itu, pemimpin China segera menyampaikan ucapan takziah kepada Afghanistan, diikuti penghantaran bantuan kecemasan pertama yang tiba dengan pantas.

Ini merupakan sokongan dan bantuan yang besar kepada penduduk kawasan bencana. Pemimpin tertinggi Afghanistan menghargai ucapan takziah dan sokongan berharga dari China, di samping negaranya akan sentiasa mengingati persahabatan dengan rakyat China.

Afghanistan dilanda gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter pada 31 Ogos lalu.

Gempa bumi susulan masing-masing berukuran 5.5 dan 5.1 pada skala Richter turut berlaku pada 2 dan 5 Sept.

Bulan Sabit Merah Afghanistan mengesahkan bahawa gempa bumi yang melanda bahagian timur Afghanistan meragut 2,205 nyawa dan mengakibatkan 3,640 orang cedera.

-- BERNAMA

#China #bantuan kemanusiaan #gempa bumi #Afghanistan