DUNIA
China tegas tolak sebarang perjanjian tarif yang jejaskan kepentingannya
China menolak sebarang negara yang membuat perjanjian perdagangan dengan AS dengan mengorbankan kepentingan China bagi mendapatkan apa yang disebut sebagai "kelonggaran tarif." - Gambar hiasan
BEIJING: China menegaskan bahawa pihaknya menolak sebarang negara yang membuat perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dengan mengorbankan kepentingan China bagi mendapatkan apa yang disebut sebagai "kelonggaran tarif", kata jurucakap Kementerian Perdagangan pada Sabtu, menurut Xinhua.
"Jika situasi sebegini berlaku, China tidak akan menerimanya dan akan mengambil langkah balas tegas untuk mempertahankan hak dan kepentingan sahnya," kata jurucakap itu ketika menjawab pertanyaan media mengenai rundingan perdagangan AS dengan ekonomi lain baru-baru ini.
"Sejak April, AS telah mendesak apa yang disebut sebagai 'tarif timbal balik' ke atas rakan perdagangannya. Ini adalah tindakan buli unilateral yang tipikal dan menjejaskan sistem perdagangan pelbagai hala serta mengganggu ketertiban perdagangan antarabangsa," katanya sambil menegaskan bahawa China sentiasa dan konsisten menolak amalan sedemikian.
Jurucakap itu berkata China mengalu-alukan usaha negara lain untuk menyelesaikan perbezaan perdagangan dengan AS melalui rundingan di atas dasar kesamarataan, selain menggesa semua pihak untuk menjunjung keadilan, berpihak kepada sejarah dan mempertahankan peraturan perdagangan antarabangsa serta sistem perdagangan pelbagai hala.
"Telah terbukti bahawa hanya dengan mempertahankan prinsip dan pendirian secara tegas, sesebuah negara dapat benar-benar melindungi haknya yang sah," kata jurucakap itu.
-- BERNAMA