SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
INTERNATIONAL

China terus catat kenaikan aliran masuk pelaburan asing

Bernama 29/04/2025 | 10:15 MYT
China merekodkan penubuhan sebanyak 12,603 syarikat pelaburan asing dalam tiga bulan pertama 2025. - Gambar/ Reuters
BEIJING: China merekodkan penubuhan sebanyak 12,603 syarikat pelaburan asing dalam tiga bulan pertama 2025, meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Data Kementerian Perdagangan (MOFCOM) menunjukkan dari Januari hingga Mac, penggunaan sebenar pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan e-dagang, pembuatan biofarmaseutikal dan pembuatan peralatan aeroangkasa masing-masing meningkat sebanyak 100.5 peratus, 63.8 peratus dan 42.5 peratus.

Suku tahun pertama juga menyaksikan pelaburan asing dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi terus bertambah, antaranya termasuk kilang ketiga BMW Brilliance Automotive Ltd (BBA) dan kilang mega simpanan tenaga Tesla yang masing-masing memulakan operasi di Shenyang dan di Shanghai.

Untuk tempoh sama, pelaburan ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) di China masing-masing mencatat kenaikan sebanyak 56.2 peratus dan 11.7 peratus.

Selain itu, aliran masuk pelaburan dari Switzerland, Britain, Jepun dan Korea Selatan masing-masing meningkat 76.8 peratus, 60.5 peratus, 29.1 peratus dan 12.9 peratus.

-- BERNAMA


#China #pelaburan asing #perang tarif #tarif AS