Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

China uji keupayaan robot humanoid dalam kejohanan dunia pertama

Astro Awani 15/08/2025 | 10:00 MYT
Robot humanoid Unitree Robotics bertanding dalam perlawanan kickboxing sempena Kejohanan Robot Humanoid Dunia yang julung kali diadakan, bertempat di Oval Luncur Laju Kebangsaan, Beijing, China pada 15 Ogos 2025. -Foto Reuters
BEIJING: China mencatat sejarah apabila menganjurkan Kejohanan Robot Humanoid Dunia pertama, yang bermula hari ini di Beijing dengan penyertaan lebih 500 android dari 16 negara, termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan Brazil.


Ringkasan AI
  • China menganjurkan Kejohanan Robot Humanoid Dunia pertama di Beijing, melibatkan lebih 500 android dari 16 negara bertanding dalam acara sukan dan tugasan praktikal.
  • Objektif utama kejohanan adalah menguji keupayaan motor, pemikiran kendiri dan ketangkasan robot dalam simulasi dunia sebenar, selaras dengan strategi nasional China.
  • Kerajaan China memperuntukkan satu trilion yuan untuk menyokong pembangunan teknologi robotik dan AI, menjadikan kejohanan ini penanda aras baharu dalam aplikasi robot humanoid di sektor awam dan domestik.


Acara selama tiga hari itu berlangsung di National Speed Skating Oval — venue yang dibina untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 — dan menyaksikan robot menyerupai manusia bertanding dalam pelbagai acara sukan seperti larian 100 meter berpagar, bola sepak lima sebelah, bola keranjang, serta seni mempertahankan diri seperti kung fu dan tinju.

Selain acara sukan, robot turut diuji dalam tugasan praktikal seperti pengkategorian ubat, pembersihan, dan pengendalian bahan perubatan.

Menurut penganjur, objektif utama kejohanan ini adalah untuk menguji keupayaan motor, pemikiran kendiri dan ketangkasan robot dalam simulasi dunia sebenar.

Dalam acara bola sepak, robot bersaiz kanak-kanak berusia tujuh tahun dilihat bergerak perlahan dan sering terjatuh, namun dalam acara larian 1,500 meter, robot dari syarikat China Unitree menunjukkan prestasi mengagumkan dengan masa 6 minit 29 saat — jauh di belakang rekod manusia, tetapi satu pencapaian besar dalam bidang automasi.

Kejohanan ini dianjurkan selaras dengan strategi nasional China yang meletakkan robot humanoid sebagai teras pembangunan teknologi masa depan.

Menurut Persekutuan Robotik Antarabangsa, kerajaan China telah memperuntukkan dana sebanyak satu trilion yuan (RM660 bilion) untuk menyokong syarikat pemula dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik.

“Dalam 10 tahun akan datang, saya percaya robot akan setanding dengan manusia,” kata pelajar Chen Ruiyuan, 18.

Sekolah-sekolah turut menghantar pelajar ke kejohanan ini sebagai usaha mendidik generasi muda mengenai teknologi baharu.

Kejohanan ini turut menarik perhatian antarabangsa sebagai penanda aras baharu dalam pembangunan robot humanoid, yang sebelum ini hanya digunakan dalam industri dan penyelidikan.

China, sebagai pasaran terbesar dunia bagi robot industri, kini berusaha memperluas aplikasi robot ke sektor awam dan domestik.










#Kejohanan Robot Humanoid Dunia #China #uji keupayaan motor #simulasi dunia sebenar