Belasungkawa Allahyarham Bung Moktar Radin | Ikuti Perkembangan Terkini Perjalanan Terakhir di sini
DUNIA

China umum pemberian bantuan AS$100 juta kepada Palestin

Bernama 05/12/2025 | 12:30 MYT
Presiden China Xi Jinping mengumumkan pada Khamis pemberian bantuan AS$100 juta kepada Palestin bagi membantu meredakan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaan semula wilayah itu. - Gambar fail/REUTERS
BEIJING: Presiden China Xi Jinping mengumumkan pada Khamis pemberian bantuan AS$100 juta kepada Palestin bagi membantu meredakan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza serta menyokong pemulihan dan pembinaan semula wilayah itu.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan China kepada Palestin.

Beliau menyifatkan langkah China itu sebagai lambang keutuhan ikatan persahabatan antara kedua-dua negara serta kalangan rakyat.

Bantuan berkenaan memperlihatkan komitmen China dalam menegakkan kebenaran dan keadilan, serta keprihatinan dan sokongan pemimpin China terhadap rakyat Palestin, katanya.

Abbas berkata langkah seumpama itu akan memperkukuh lagi perkongsian strategik dan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak, selain menyumbang kepada kedamaian dan kestabilan rantau berkenaan.

Presiden itu menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada China yang berdiri teguh bersolidariti bersama Palestin di persada dunia.

Palestin sedia bekerjasama dengan China ke arah mewujudkan kesaksamaan dan keamanan menyeluruh berasaskan undang-undang antarabangsa, kata beliau.

-- BERNAMA



#China #bantuan #Palestin #Xi Jinping