WASHINGTON: Wartawan tersohor antarabangsa, Christiane Amanpour mengumumkan akan meninggalkan CNN pada Jun tahun depan, sekali gus menamatkan perjalanan selama 43 tahun bersama rangkaian berita antarabangsa itu.
Amanpour yang juga Ketua Penyampai Antarabangsa CNN mengumumkan keputusannya pada Isnin selepas melalui pertimbangan panjang.
“Selepas berbulan memikirkannya dan beberapa malam tanpa tidur, saya memutuskan untuk berpisah dengan CNN, rakan seperjalanan saya selama 43 tahun yang cukup luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Amanpour, 68, berkata, beliau kini menantikan peluang meneroka beberapa projek baharu, namun akan terus menyokong CNN dan legasi kewartawanan bebas yang diperjuangkan rangkaian berkenaan.
Beliau turut mengulangi prinsip yang menjadi pegangannya sepanjang bergelar wartawan: “Sentiasa berpihak kepada kebenaran, bukan bersikap neutral.”
Amanpour merupakan antara nama paling dikenali dalam kewartawanan antarabangsa, khususnya menerusi liputannya sebagai wartawan asing di beberapa kawasan konflik dunia.
Sejak 2009, beliau mengendalikan program temu bual yang menggunakan namanya sendiri di CNN International.
Pada Januari 2025, Amanpour mengurangkan komitmennya sebagai pengacara kepada beberapa hari seminggu. Bermula Januari 2027, program berkenaan akan disiarkan sekali seminggu sebelum berakhir pada Mei.
Bagaimanapun, Amanpour akan terus menjalankan tugasan laporan dan melakukan perjalanan ke seluruh dunia untuk CNN sehingga Jun 2027.
Pengerusi CNN, Mark Thompson turut memaklumkan keputusan Amanpour menerusi memo kepada kakitangan pada Isnin.
Menurut Thompson, Amanpour telah mempertimbangkan keputusan tersebut secara teliti dan kedua-duanya telah membincangkan perkara itu sejak beberapa bulan lalu.
“Seperti ramai warga CNN yang akan mendengar berita ini hari ini, saya amat sedih melihat beliau pergi, tetapi saya menerima bahawa inilah masa yang tepat untuknya, secara peribadi dan profesional,” katanya.
Thompson menyifatkan Amanpour sebagai “antara wartawan paling dipercayai dan disayangi di mana-mana sahaja”, sambil berkata, CNN akan mengambil kesempatan untuk meraikan sumbangannya sebelum beliau meninggalkan rangkaian itu tahun depan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Amanpour atas “43 tahun kewartawanan yang luar biasa, kesetiaan dan persahabatan.”
Sementara itu, Amanpour dalam kenyataannya turut merakamkan penghargaan kepada semua individu yang pernah bekerja bersamanya sepanjang karier di CNN, khususnya pasukan penerbitan program dan kru lapangan.
Beliau mengimbas kembali tugasan besar pertamanya ketika membuat liputan Perang Teluk Pertama, selain konflik di Bosnia, Rwanda, Afghanistan, Ukraine dan Iran.
Menurut Amanpour, semangat berpasukan dan kebersamaan menjadi antara perkara paling bermakna sepanjang kerjayanya ketika mereka berusaha mendapatkan fakta, bukti serta mengetengahkan sisi kemanusiaan dalam setiap laporan.
Katanya, matlamat itu penting bagi memastikan CNN terus menyampaikan kebenaran mengenai dunia kepada khalayak global “tanpa rasa takut atau memihak kepada sesiapa.”
Program Amanpour di PBS, “Amanpour & Company”, pula akan berakhir pada Disember.
Bagaimanapun, beliau akan meneruskan podcast “The Ex Files” bersama bekas suaminya, Jamie Rubin, yang diterbitkan oleh Global. - Agensi